GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoalkan kelewatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan terhadap isu vape yang mengandungi dadah, meskipun sebanyak 96 kertas siasatan telah dibuka sejak awal 2024.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow berkata, lebih membimbangkan apabila lebih 70 peratus daripada kes tersebut secara sah mengandungi dadah sintetik seperti kanabinoid dan amphetamine, namun tiada sebarang tindakan konkrit diambil walaupun telah berlalu lebih setahun.
Jelas beliau, pihaknya terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni baru-baru ini yang memaklumkan jumlah kertas siasatan berkenaan, sedangkan penjualan vape mengandungi bahan terlarang terus berleluasa.
“Negara lain sudah lama mengharamkan vape atau mengenakan peraturan ketat, tetapi Malaysia masih bertangguh.
“Penangguhan ini sebenarnya membuka pintu kepada lebih banyak dadah berbahaya memasuki negara dan merosakkan masa depan generasi muda.
“Sudah satu tahun berlalu tetapi tiada tindakan diambil. Apa lagi bukti yang diperlukan oleh pihak berkuasa?,” soalnya.
Subbarow turut merujuk amaran bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada April lalu, yang mengesahkan terdapat pelajar seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan peranti vape bercampur dadah sintetik.
Malah, katanya, Ayob Khan turut mendedahkan kehadiran dadah fentanyl atau lebih dikenali sebagai “ubat zombi” dalam cecair vape, yang mempunyai kesan sehingga 100 kali lebih kuat daripada morfin dan boleh membawa maut.
“Ini bukan lagi isu rokok atau gaya hidup, ini ancaman keselamatan negara. Generasi muda kini bukan mahu hidup sihat, mereka kejar ‘gaya hidup zombi’ kerana mahukan keseronokan melalui dadah.
“Selain itu, penyelidikan juga mendapati 65 peratus cecair vape di pasaran mengandungi bahan terlarang seperti methamphetamin dan ekstasi yang diklasifikasikan sebagai racun,” katanya.
Dalam pada itu, Subbarow mempersoalkan kewajaran penubuhan lebih banyak jawatankuasa khas memantau isu vape jika tiada tindakan segera diambil untuk mengharamkannya sepenuhnya.
“Kami alu-alukan kerjasama KKM dan PDRM, tetapi persoalannya, kenapa masih tiada larangan penuh terhadap vape? Mengapa perlu tunggu lebih banyak nyawa melayang?
“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan bertindak tegas untuk memastikan tiada lagi generasi vape di negara ini demi menyelamatkan masa depan anak-anak muda negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















