KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi melakar sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kejayaannya
melepaskan 1,270 ekor ikan badut (clownfish) secara serentak di perairan Pulau Bidong, Terengganu.

Pengiktirafan itu diumumkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 MBOR dalam satu majlis berprestij yang diadakan baru-baru ini.

Rekod penting yang tercatat sebagai “Perlepasan Ikan Badut Terbanyak Dalam Satu Masa” itu adalah hasil kerjasama erat antara beberapa pusat di UMT seperti Pusat Pengurusan Penyelidikan Lautan (PPPL) dan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT yang dijalankan pada tahun 2022.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti kesungguhan dan kecekapan UMT dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi sejajar dengan peranan institusi ini sebagai peneraju dalam bidang sains marin, akuakultur dan kelestarian ekosistem laut.

“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan ekosistem marin yang menyokong agenda kelestarian biodiversiti laut negara”.

“Kami percaya setiap tindakan kecil dalam pemuliharaan mampu memberi kesan besar terhadap keseimbangan ekosistem marin. Perlepasan ikan badut ini bukan sahaja simbolik terhadap pemulihan terumbu karang, malah ia memperkukuh kesedaran awam terhadap tanggungjawab menjaga khazanah laut” katanya.

Lebih bermakna apabila rekod itu turut dimuatkan dalam edisi khas ulang tahun penubuhan MBOR yang ke-30 sekali gus meletakkan UMT sebaris dengan institusi lain yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing di peringkat nasional.

“Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam aspek Kehidupan di Laut (SDG 14) dan mempamerkan komitmen berterusan UMT dalam
melahirkan penyelidik serta pelajar yang cakna terhadap isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim”, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast