KUALA LUMPUR – DAP tidak pernah berganjak daripada komitmen untuk membela dan mencari kebenaran dalam kes melibatkan mendiang Teoh Beng Hock.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sepanjang 16 tahun sejak kes itu bermula, partinya sama ada ketika menjadi pembangkang atau kerajaan sentiasa komited memperjuangkan kes itu berdasarkan prinsip undang-undang.
Malah, kata beliau, DAP juga mengulangi komitmen untuk menyediakan bantuan perundangan kepada keluarga Beng Hock pada bila-bila masa sekiranya terdapat bukti-bukti baharu ditemui bersabit siasatan kes itu.
Dalam masa sama DAP menghormati hak keluarga mendiang untuk bersuara dan mereka berhak melakukannya termasuk meneruskan perjuangan mendapatkan keadilan bagi Beng Hock menerusi apa jua saluran perundangan.
“Oleh kerana siasatan masih belum lengkap dan keputusan sedia ada masih belum memenuhi harapan keluarga Beng Hock, DAP dengan rasa penuh hormat dan rasa dukacita tunduk (memohon maaf) kepada keluarga Beng Hock,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Anthony berharap waris Beng Hock menerima sumbangan ihsan daripada kerajaan yang bertujuan menyokong Kebajikan dan keperluan khususnya buat anak mendiang, Teoh Er Jia.
Ujar beliau, kerajaan bersedia menyerahkan sepenuhnya pengurusan dana itu kepada balu mendiang, Soh Cher Wei tanpa sebarang syarat.
Ditanya berkenaan permohonan maaf oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Anthony berkata, ia merupakan satu bentuk tanggungjawab yang diambil oleh agensi berkenaan yang mengakui hakikat Beng Hock meninggal dunia semasa dalam tahanan SPRM.
“Saya percaya Tan Sri Azam Baki sendiri telah mengakuinya dan itulah sebabnya permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya atas nama SPRM.
“Permohonan maaf itu seperti yang saya tegaskan, telah terlalu lama tertangguh,” katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, permohonan maaf oleh SPRM itu tidak bermaksud kes melibatkan Beng Hock ditutup dan siasatan oleh pihak berkuasa termasuk polis akan diteruskan sehingga kebenaran dapat ditegakkan.
Semalam, SPRM menzahirkan permohonan maaf kepada keluarga mendiang Beng Hock serta memperbaharui komitmen memperkukuh integriti dan penambahbaikan institusi itu sempena memperingati 16 tahun pemergian mendiang.
Dalam satu kenyataan, Azam berkata, walaupun siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara tidak menemui bukti mencukupi terhadap mana-mana individu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.
Bagaimanapun, keluarga Beng Hock menolak permohonan maaf itu yang mana media melaporkan, adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan, 45, berkata, permohonan maaf itu tidak menggambarkan keikhlasan.
Malah, katanya, hasrat SPRM untuk memberikan sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan adalah tindakan memalukan keluarganya.
Terdahulu, Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Siasatan semula kes berkenaan dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan. – MalaysiaGazette
















