Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap pada media berkenaan Majlis Penutup Program Generasi Qawwam “Anak Muda Hero Keluarga” di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Tiada ketenangan dan kurang kasih sayang antara punca mendorong wanita terjebak dengan program motivasi rumah tangga eHati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tidak hairan jika program seumpama itu mendapat tempat dalam kalangan wanita yang terabai oleh pasangan masing-masing.

“Kenapa ramai dalam kalangan wanita yang hadir dalam program eHati ini? Sebab mereka ini rasa tak ada ketenangan.

“Dia tak dapat kasih sayang daripada suami. Sebab itu dia tercari-cari mana-mana dan cari ketenangan yang sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bergambar bersama penerima replika cek Wakalah pada Majlis Penutup Program Generasi Qawwam “Anak Muda Hero Keluarga” di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JULAI 2025.

Terdahulu Mohd Nai’m merasmikan majlis penutup Generasi Qawwam Anak Muda, Hero Keluarga di Kolej Universiti Majlis Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Semalam pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga eHati bersama empat individu lain direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas semua suspek terdiri empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sebelum ini, pengasas program motivasi rumah tangga (eHATI) menafikan dakwaan program anjuran mereka mengandungi unsur menggugat akidah umat Islam atau bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia.

Pengasas eHati International Sdn Bhd yang juga pasangan suami isteri, Diyana Tahir dan Rahim Shukor mendakwa program ditawarkan itu tidak sama sekali mengabaikan atau mengetepikan nilai agama Islam, institusi perkahwinan atau peranan pasangan dan keluarga.

Dalam pada itu, Mohd Na’im juga berkata, tidak hairan jika wanita-wanita terabai ini menemui kumpulan-kumpulan yang menawarkan modul penyelesaian rumah tangga tanpa mengambil kira patuh syariah atau sebaliknya.

“Kalau mereka jumpa kumpulan yang betul, bawa mereka ke jalan serta ikut syariah, Alhamdulillah. Tapi ada kadang-kala mereka bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang modul yang dibawa itu memang lain langsung daripada prinsip-prinsip syariah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast