Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menunjukkan dokumen kenyataan bersama ketika mengadakan sidang media membabitkan isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan tindakan parti itu menggantung beliau serta lapan ahli Parlimen PKR lain tidak akan menyelesaikan masalah.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Pandan berkenaan, mereka dibayar gaji oleh rakyat untuk bersuara bagi pihak rakyat, justeru akan terus bersuara.

Dalam masa sama, katanya, tindakan menggantung kesemua ahli Parlimen PKR berkenaan memberi gambaran tidak ada ruang demokrasi dalam PKR.

Lebih-lebih lagi apabila ada ahli Parlimen seperti Hassan Abdul Karim yang lebih teruk mengkritik Perdana Menteri sebelum ini tetapi tidak pun dikenakan tindakan.

Ujarnya, menggantung beliau dan lapan ahli Parlimen PKR lain itu juga akan menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi iaitu lebih sedikit dari DAP; Barisan Nasional (BN) dan GPS.

“Ada desakan supaya saya dan lapan lagi ahli Parlimen PKR yang memulakan syor penubuhan RCI mengenai badan kehakiman digantung.

“Maka ramailah ketua-ketua cabang di seluruh negara berlumba-lumba keluar kenyataan media mendesak kami digantung. Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh kata akan bentang kepada Majlis Pimpinan Pusat tidak lama lagi.

“Saya perhatikan saja. Anggota parti biasa pun perhati. Rakyat pun perhati juga. Nasihat saya, kalau main catur atau main dam haji sebelum ghairah nak makan lawan, tengok dulu aturan kat sebelah kita,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkongsi nasihat dengan pimpinan PKR peringkat cabang dari generasi yang baru menang selepas pemilihan baru-baru ini yang mana PKR tidak dibina dengan menutup mulut.

Menurut beliau, PKR nampak dinamik kerana parti itu sentiasa bergerak secara organik dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk membawa isu rakyat tanpa mengikut hirarki atau jawatan parti.

Ujarnya, PKR juga diminati rakyat sebelum ini kerana parti itu paling cepat dan lantang bersuara dalam isu-isu rakyat.

“Itulah amalan kami yang tua-tua ini sehingga PKR berjaya membentuk kerajaan dan membuka peluang kepada pimpinan baru, seperti ketua-ketua cabang ini untuk menjadi orang besar dan berjawatan.

“Sebab kalau belum tahu budaya dalam PKR, ini satu petua yang saya nak kongsi: Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan negara tegur-tegurkan,” katanya.

Sebelum ini, wujud desakan daripada beberapa pihak di dalam PKR termasuk kesemua Ketua Cabang di Johor dan Kedah supaya tindakan disiplin termasuk gantung keahlian diambil terhadap Rafizi serta lapan ahli Parlimen PKR lain.

Ia susulan tindakan mereka mengadakan sidang akhbar mengkritik kontroversi lantikan dalam institusi kehakiman yang dilihat memberi imej buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast