Oleh: Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor
BAYANGKAN anda hadir ke tempat kerja setiap hari, tetapi seolah-olah anda tidak wujud. Tiada sapaan, tiada komunikasi, mesyuarat tidak dimaklumkan, dan pandangan serta usaha anda sentiasa dipandang sepi. Inilah yang dinamakan cold violence atau kekerasan dingin di tempat kerja. Ia adalah satu manifestasi penderaan psikologi yang tidak menggunakan kata-kata kesat atau kekerasan fizikal, tetapi cukup untuk melukakan hati dan melemahkan semangat.
Cold violence merujuk kepada perlakuan pasif-agresif seperti pengasingan sosial, layanan dingin, tidak memberi maklumat penting, atau sengaja membisukan seseorang daripada komunikasi kumpulan. Ia tidak berlaku secara terbuka, tetapi dalam diam ia mampu menggugat kesejahteraan mental dan prestasi seseorang pekerja. Lebih merisaukan, ramai mangsa tidak menyedari bahawa mereka sedang dianiaya secara halus, kerana kekerasan ini tidak meninggalkan kesan yang nyata di tubuh, tetapi parutnya dalam jiwa dan raga.
Kekerasan senyap ini sering muncul dalam bentuk pengasingan sosial atau silent treatment, di mana individu diabaikan dalam perbualan, mesyuarat, atau komunikasi penting, malah dikecualikan dari aktiviti pasukan. Ia juga melibatkan penyebaran khabar angin atau fitnah yang merosakkan reputasi, serta komen-komen sarkastik atau merendah-rendahkan yang bertujuan menjatuhkan maruah seseorang di hadapan orang lain.
Selain itu, cold violence boleh dilihat melalui manipulasi tugasan, seperti memberikan beban kerja yang tidak munasabah, menarik balik projek penting tanpa sebab, atau sengaja menghalang kemajuan kerjaya seseorang. Bentuk lain termasuk penafian penghargaan terhadap sumbangan walaupun menjadi pekerja cemerlang berbanding yang lain. Begitu juga komunikasi pasif-agresif seperti e-mel bernada dingin atau bahasa badan negatif yang mengelak konfrontasi secara langsung.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing di negara kita. Kajian oleh JobStreet Malaysia pada tahun 2022 menunjukkan ebih 35% pekerja di Malaysia pernah berdepan dengan bentuk pengasingan sosial atau layanan sepi secara berulang dalam persekitaran kerja mereka. Ini selari dengan laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menyatakan lebih 22% pekerja di seluruh dunia mengalami gangguan psikologi secara senyap, termasuk pengabaian sosial dan pengasingan emosi. Walaupun tiada statistik rasmi yang menyeluruh di peringkat negara, namun data ini menunjukkan betapa seriusnya masalah cold violence yang masih belum ditangani secara tuntas.
Kesan daripada cold violence bukan sekadar terhenti kepada individu mangsa. Dari sudut organisasi, suasana tempat kerja yang berunsur kekerasan dingin boleh menghakis semangat kerja berpasukan. Ia mewujudkan jurang komunikasi, merosakkan kepercayaan antara rakan sekerja, dan menyumbang kepada peningkatan kadar keluar masuk pekerja (turnover rate). Produktiviti juga akan menurun kerana pekerja tidak lagi berasa dihargai atau selesa untuk menyumbang idea. Dalam jangka masa panjang, reputasi organisasi boleh tercemar jika budaya kerja toksik ini dibiarkan berleluasa tanpa tindakan.
Menangani cold violence di tempat kerja memerlukan usaha kolektif. Pihak pengurusan perlu mengiktiraf bahawa kekerasan dingin adalah satu bentuk gangguan yang sebenar, walaupun ia tidak kelihatan secara fizikal. Polisi tempat kerja perlu memasukkan elemen anti-buli dan anti-pengasingan yang jelas, serta menyediakan saluran aduan yang selamat dan sulit. Latihan kesedaran tentang empati, komunikasi berkesan dan kesejahteraan mental juga perlu diberikan kepada semua kakitangan tanpa mengira pangkat. Bagi pekerja yang menjadi mangsa, penting untuk mendokumentasikan setiap kejadian, mendapatkan sokongan daripada rakan yang dipercayai, dan jika perlu, mendapatkan bantuan daripada kaunselor atau pegawai sumber manusia.
Dari sudut pandangan Islam, cold violence adalah satu bentuk kezaliman yang dilarang sama sekali. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain; dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan bahawa sesama Muslim, apatah lagi rakan sekerja wajib saling menyantuni, menjaga hak emosi dan sosial masing-masing. Islam melarang perbuatan mencela, menghina atau merendahkan sesama manusia. Cold violence, walaupun senyap, hakikatnya termasuk dalam kategori perlakuan menghina secara halus yang merendahkan martabat insan lain.
Islam mengajarkan konsep ihsan dalam bekerja, iaitu berbuat baik bukan sahaja kepada pelanggan atau majikan, tetapi juga kepada rakan sekerja. Seorang Muslim yang baik adalah yang memberi ketenangan kepada orang lain melalui kata-kata dan tindakannya. Oleh itu, budaya kerja dalam organisasi perlu digerakkan ke arah membina kasih sayang, menghargai sumbangan individu dan menolak sebarang bentuk diskriminasi halus, tidak kira status atau latar belakang.
Cold violence mungkin tidak menumpahkan darah, tetapi ia meruntun emosi, menumpahkan air mata dan menghancurkan jiwa secara perlahan. Ia adalah musuh dalam selimut yang tidak boleh dibiarkan terus hidup dalam budaya kerja moden. Sudah tiba masanya masyarakat, majikan, dan pekerja sendiri membuka mata terhadap isu ini. Organisasi yang berjaya bukan sahaja bergantung pada teknologi atau strategi, tetapi juga kepada suasana kerja yang sihat dan saling menghormati. Cold violence bukan budaya kita dan kita mampu mencipta tempat kerja yang lebih selamat dan berperikemanusiaan untuk semua.

















