KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh pemotoran kecewa apabila sahabat lamanya yang dikhuatiri hilang rupa-rupanya melarikan diri ke Thailand.
Qaqal Jeffry berkata, dia dan rakan-rakan sanggup meninggalkan urusan kerja untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar apabila lelaki itu menyerah diri kepada polis dan mengaku sengaja mereka-reka insiden kehilangan tersebut.
“Tengah kerja, dapat panggilan, terus ke lokasi kejadian. Lagipun kawasan kampung sendiri. Kenal isteri dia, kenal anak dia. Doa sungguh-sungguh semoga dia selamat.
“Tapi bila dapat tahu semuanya lakonan, memang kecewa. Saya sempat berbual panjang dengan adik kandung dia sendiri, rupanya mereka pun berlakon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Menurutnya, dia bersama rakan-rakan yang lain telah terlibat bersama sepanjang tiga hari pencarian, termasuk menarik kereta Ija keluar dari sungai, tanpa menyangka insiden itu hanya rekaan semata-mata.
Perbuatan itu bukan sahaja membuang masa dan tenaga ramai pihak, malah melibatkan emosi ahli keluarga dan rakan terdekat yang benar-benar risaukan keselamatan mangsa.
“Bayangkan berapa ramai pihak yang terlibat. Bomba, polis, orang kampung, kawan-kawan. Mungkin dia ada alasan tersendiri, tapi niat tak menghalalkan cara.
“Jadikan pengajaran. Kalaulah kau tengok muka semua orang yang membantu hari tu,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Qaqal turut menggesa sahabatnya itu tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan tindakan tersebut dan segera insaf atas perbuatannya.
“Andai kau terbaca hantaran ini, tolonglah sedar dan bertaubat. Nasi dah jadi bubur, perahu tak boleh undur. Ayuh move forward.
“Duit minyak, tol, kesan gigitan nyamuk, asam pedas tetel sepinggan nanti kau dah bebas, aku hantar nombor akaun. Doa semua tak perlu refund, aku ikhlas,” ujarnya.
Qaqal menambah, mereka bukan sahaja mengorbankan wang ringgit dan tenaga, tetapi turut menanggung beban emosi kerana terlalu risaukan keselamatan seorang sahabat yang dikenali sejak lebih sedekad.
“Aku ni fikirkan, kawan lama. Lebih sedekad. Betapa risaunya kita, sebab kenal isteri, kenal anak, punya lah merintih doa dalam hati mintak dijauhkan dari segala bala bencana,” katanya.
Semalam, media melaporkan Tengku Nizaruddin telah tampil menyerah diri di Balai Polis Muar selepas didakwa hilang sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati laporan kehilangan itu meragukan dan dipercayai direka untuk kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette
















