KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Marzuki Mohamad menafikan dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang rendah terhadap UMNO semasa rundingan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya bukan setakat ada kaki dalam rundingan tersebut malah seluruh tubuh badan saya berada di situ dari awal rundingan hingga ke akhirnya,” katanya.
Pertama, menurutnya, rundingan berlaku dalam suasana yang muhibbah dan tidak pernah sekali pun Muhyiddin memperkecilkan UMNO.
Kedua, dalam rundingan mestilah ada tawaran. Rombongan Barisan Nasional (BN) datang dengan tawaran ahli-ahli Parlimen BN memberikan sokongan secara en-bloc kepadai Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, katanya.
“Sebagai balasan, Perikatan Nasional (PN) menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, jawatan Kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi dan beberapa perkara lain.
“Siapa Timbalan Perdana Menteri dari BN tidak ditentukan. Ia mestilah dirunding antara Perdana Menteri dan pimpinan BN,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Di akhir rundingan, menurut Marzuki, delegasi BN yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohammad Hassan meminta supaya tawaran-tawaran tersebut dibuat secara bertulis untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada sebelah malamnya.
“Pada ketika itu saya fikir tidak ada sebab untuk UMNO menolak tawaran-tawaran dengan terma-terma yang munasabah yang telah dibincangkan serta dipersetujui secara dasarnya dalam rundingan. Cuma ia perlu dibawa ke MKT UMNO untuk pengesahan.
“Saya tidak pasti sama ada kandungan surat tersebut dibincangkan atau tidak di dalam mesyuarat MKT Umno pada malam 23 November 2022,” katanya lagi.
Apabila beliau pulang ke rumah pada lewat malam tersebut, saya terkejut membaca kenyataan media Setiausaha Agung UMNO yang menyatakan bahawa MKT parti itu telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN.
Sebaliknya UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PH, katanya.
Sebelum itu, Rafizi dalam satu podcast mendakwa PN tidak mengemukakan apa-apa tawaran kepada BN dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas PRU-15.
Malah bekas menteri PKR itu mendakwa Muhyiddin memandang rendah kepada UMNO. – MalaysiaGazette
















