PETALING JAYA – Perbicaraan kes pengabaian melibatkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf bertukar emosi apabila tertuduh beberapa kali menitiskan air mata sewaktu memberi keterangan dari kandang tertuduh termasuk ketika menyebut nama anak sulungnya itu.

Ismanira sedang memberi keterangan bersumpah bagi membela diri disoal oleh peguambelanya, Haresh Mahadevan pada sesi yang turut disaksikan oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.

Ketika menceritakan tentang Zayn Rayyan, suasana mahkamah menjadi hening dan Ismanira dilihat menangis teresak-esak sehingga menyebabkan prosiding terhenti seketika.

Hakim bertanya sama ada tertuduh memerlukan masa untuk menenangkan diri atau mahkamah perlu ditangguhkan sebentar namun Ismanira memilih untuk meneruskan sesi bela diri selepas mengesat air matanya.

Dari galeri awam, beberapa ahli keluarga wanita itu turut kelihatan tidak dapat menahan sebak yang dilihat menangis sepanjang prosiding berlangsung.

Sesi pembelaan turut menyentuh latar belakang peribadi tertuduh dengan Ismanira berusia 30 tahun itu bekerja sendiri, memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari sebuah kolej swasta di mana beliau juga didedahkan dengan pendidikan khas termasuk topik berkaitan autisme, ADHD, disleksia dan Sindrom Down.

“Saya dilatih untuk menjadi guru dan turut faham mengenai keperluan khas kanak-kanak,” katanya.

Tertuduh turut memaklumkan beliau berkahwin dengan Zaim Ikhwan Zahari pada 5 Jun 2016 di Narathiwat, Thailand dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Allahyarham Zayn Rayyan dan seorang lagi berusia enam tahun yang kini dijaga keluarga di Seremban, Negeri Sembilan.

Berkongsi rutin harian sejak tahun 2022, Ismanira berkata, beliau menghantar kedua-dua anak ke rumah pengasuh setiap hari bekerja dan akan menguruskan sepenuhnya keperluan mereka sebelum ke tempat kerja.

“Selepas Zayn mula bersekolah pada Mac 2023, saya akan hantar adiknya dahulu ke rumah pengasuh sekitar 7.30 pagi sebelum hantar Zayn ke sekolah,” katanya sebak beberapa kali.

Tambah beliau, pada waktu rehat sekitar 11.45 pagi, beliau akan keluar untuk menjemput Zayn yang tamat sekolah kira-kira 11.50 pagi.

Mahkamah berehat seketika selepas sesi ini sebelum disambung semula.

Mahkamah hari ini melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan mengabaikan anaknya manakala Ismanira diperintah membela diri atas pertuduhan sama.

Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam kes terhadap Zaim Ikhwan termasuk aspek pemeliharaan, penjagaan serta niat bersama.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang ketika itu berusia enam tahun.

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa secara bersama sebagai penjaga kepada kanak-kanak itu dan dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Kejadian dikatakan berlaku dari kediaman mereka di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan anak sungai berhampiran, di mana mayat Zayn ditemui.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 10 malam, 6 Disember 2023 sehari selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zaim dilepas dan dibebaskan, isteri diperintah bela diri atas pertuduhan abaikan Zayn Rayyan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast