Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercakap kepada media selepas pembukaan Majlis Perasmian Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) dan Seni Bina Antarabangsa, Reka Bentuk Dalaman Dan Pameran Bangunan (ARCHIDEX) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2025.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan berita gembira sekali gus menunaikan janji beliau kepada rakyat seperti yang dilaung-laungkan sebelum memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Madani.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pengumuman perdana menteri membabitkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter itu kini menjadikan Malaysia mengenakan antara harga petrol paling rendah di dunia.

“Mewakili warga KPK, saya ingin mengucap terima kasih PMX atas pengumuman berita baik pagi tadi dan memang kini terbukti janji ditepati.

“Apabila Datuk Seri Anwar kata beliau naik (PM), minyak akan turun, kali ini betul-betul minyak turun di mana RM1.99 adalah antara harga petrol paling rendah di dunia iaitu ketiga termurah di dunia.

“Ini menunjukkan keprihatinan perdana menteri menangani isu kos sara hidup untuk warga negara manakala warga asing dikenakan harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025, Seni Bina Antarabangsa, Reka Bentuk Dalaman Dan Pameran Bangunan (ARCHIDEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kor Ming menglas pengumuman perdana menteri yang mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter pada akhir September ini selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Anwar berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

Pengumuman langkah lain turut merangkumi pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100, cuti umum seluruh negara pada 15 September ini serta penurunan harga petrol RON95.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast