Ketua Penerangan Pemuda UMNO WP, Nasrun Nasaruddin.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (WP) menegaskan cadangan untuk meletakkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan langkah ke belakang seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya ia merupakan usaha memperkukuh pentadbiran serta memastikan aspirasi warga kota terpelihara.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO WP, Nasrun Nasaruddin berkata, usul yang dikemukakan oleh 13 bahagian Pemuda UMNO itu berasaskan beberapa faktor kukuh dan bukan dibuat sesuka hati.

Ia termasuk kedudukan strategik Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran negara yang memerlukan kepimpinan berpengalaman untuk mengembalikan kegemilangan pentadbirannya.

“Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur adalah jantung pentadbiran dan ekonomi negara. Polisi yang digubal dan dasar yang dilaksanakan di sini perlu benar-benar mencerminkan aspirasi warga kota.

“Justeru itu, kita memerlukan pemimpin yang bukan sahaja memahami denyut nadi rakyat tetapi juga berupaya mengurus pembangunan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nasrun, kritikan yang melabel cadangan itu sebagai mundur tidak berasas kerana ia tidak melibatkan penambahan kos besar atau penstrukturan semula secara drastik.

Malah ia boleh menjimatkan pentadbiran sambil memperkukuh sistem penyampaian dasar kerajaan, katanya.

“Ini bukan soal politik tetapi soal keberkesanan tadbir urus. Dengan diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri, fokus dapat diberikan kepada keberkesanan pelaksanaan dasar bukan penambahan lantikan politik atau proses penstrukturan baharu yang membazirkan kos,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nasrun menegaskan, pengalaman luas Ahmad  Zahid yang pernah memimpin pelbagai kementerian utama serta peranan beliau dalam dunia korporat menjadikannya tokoh paling sesuai menerajui pentadbiran Wilayah Persekutuan.

“Beliau (Ahmad Zahid) berkhidmat lebih daripada empat penggal dalam kerajaan dan pernah mengetuai kementerian penting.

“Pengalaman beliau sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan Permodalan Nasional Berhad membuktikan kebolehan mengurus bukan sahaja hal ehwal rakyat tetapi juga strategi pembangunan ekonomi,” jelasnya.

Tambahnya, langkah itu diyakini akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus Wilayah Persekutuan sekaligus meningkatkan keberkesanan kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota.

“Cadangan ini adalah manifestasi komitmen Pemuda UMNO WP untuk melihat Wilayah Persekutuan kembali cemerlang, tersusun dan benar-benar mencerminkan harapan rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cadangan Pemuda UMNO Wilayah wujudkan pertindihan kerja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast