KUALA LUMPUR – Sebuah banglo yang didakwa milik seorang penyanyi lagenda tanah air yang meninggal dunia akibat masalah paru-paru dua tahun lalu dikatakan bakal dilelong pada 28 Ogos ini.
Facebook Selangor Auction Property memaklumkan, rumah 2.5 tingkat lot sudut yang terletak di SS18, Subang Jaya itu dilaporkan telah didaftarkan atas nama arwah bersama seorang ahli keluarga dipercayai anaknya.
“Rumah atas nama ibu dan anak. Ibu adalah seorang ikon dan bintang lagenda penyanyi di Malaysia. Beliau meninggal dunia akibat penyakit paru-paru dua tahun lalu.
“Tahun ini rumah beliau dilelong, entah kenapa dan tak pasti apa yang sudah berlaku selepas itu, doa semoga dipermudahkan segala urusan bagi keluarga beliau,” tulis hantaran itu.
Berdasarkan maklumat lelongan, rumah berstatus pegangan bebas itu mempunyai keluasan tanah sekitar 3,457 kaki persegi dengan lima bilik tidur dan empat bilik air.
Difahamkan rumah terbabit merupakan lelongan kali pertama dan harga rizab ditetapkan mahkamah sebanyak RM1.2 juta iaitu lebih rendah berbanding harga pasaran yang dianggarkan sekitar RM1.7 juta. – MalaysiaGazette
















