KUALA LUMPUR – Ketam nipah yang bertelur biasanya akan menjadi rezeki tambahan para nelayan sebelum dijual di pasar. Namun, di Benting Lintang, Besut, cerita ini berubah.
Di sinilah bermula satu inisiatif lestari yang menyatukan kepakaran penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan keprihatinan komuniti nelayan dalam usaha melindungi ekosistem perikanan negara.
Menerusi kerjasama erat antara UMT, komuniti nelayan pesisir dan pihak industri, satu inisiatif ‘luar biasa’ sedang dijalankan dengan mengumpul ketam induk yang bertelur hasil tangkapan nelayan untuk ditetaskan di makmal penyelidikan sebelum dilepaskan semula ke habitat semula jadi.
Di sebalik inisiatif jangka panjang itu berdiri barisan penyelidik yang penuh dedikasi iaitu diketuai oleh Dr. Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz serta dibantu oleh Ts. Dr. Rasina Abdul Rasid@Awang dari Fakulti Perikanan dan Sains Makanan serta Norainy Mohd Husin dari Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Akuakultur (Akuatrop), UMT.
Mereka berperanan bukan sekadar memelihara benih ketam tetapi juga memupuk kefahaman komuniti mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin untuk jangka panjang.
“Kalau dulu, induk ketam bertelur yang tertangkap oleh alat tangkapan seperti bubu dan rawai akan terus dijual bersama telurnya. Tapi kini dengan kesedaran baharu, nelayan sendiri serahkan ketam bertelur ini kepada kami untuk ditetaskan terlebih dahulu,” jelas Dr. Fazrul.
Projek ini menekankan pendekatan celik ilmu komuniti apabila nelayan yang selama ini dilihat sebagai pengguna sumber laut, kini diangkat sebagai ejen pemuliharaan yang memainkan peranan penting dalam kitaran pembiakan spesis ketam.
Dengan sokongan komuniti pesisir kawasan Benting Lintang yang secara sukarela menyumbangkan ketam bertelur, pihak UMT dapat menjalankan proses penetasan dalam
kawalan yang rapi selain memastikan peratusan hidup benih ketam lebih tinggi sebelum dilepaskan kembali ke kawasan muara.
Antara nelayan yang terlibat secara aktif dalam program itu ialah Tengku Mohamad Sharif Tengku Musa, 43, yang telah lebih dua dekad bergelumang dalam dunia perikanan.
Baginya, inisiatif yang diperkenalkan itu membuka dimensi baharu terhadap peranan nelayan dalam menjaga sumber laut.
“Saya sendiri tak sangka dengan hanya menyerahkan ketam bertelur kepada penyelidik, saya sebenarnya bantu pastikan cucu-cucu kita nanti masih boleh merasa ketam. Kita bukan hanya fikir untung hari ini, tapi fikir hasil jangka panjang,” katanya.
Menurut Dr. Fazrul lagi, proses penetasan itu bukan sahaja dapat menyelamatkan ribuan benih ketam daripada musnah, malah memberi ruang kepada penyelidik untuk mengumpul data penting mengenai tabiat pembiakan spesies ketam liar di perairan tempatan.
“Projek ini bukan sahaja memberi impak jangka panjang, malah menyumbang kepada kelestarian stok perikanan serta mengukuhkan ekonomi nelayan.
“Kalau tiada lagi ketam di laut, siapa yang akan rugi dahulu? Sudah tentu nelayan. Jadi pendekatan ini sangat signifikan kerana kita selamatkan ketam hari ini untuk rezeki hari-hari mendatang,” ujarnya.
Kejayaan program ini juga menjadi asas kepada pembentukan model pemuliharaan berasaskan komuniti yang boleh dikembangkan ke kawasan pesisir lain di seluruh negara.
Ia antara Inisiatif bagi menyokong Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 14 (Hidupan Bawah Air) dan seiring dengan aspirasi UMT sebagai peneraju dalam sains marin dan kelestarian sumber akuati.
Langkah-langkah kecil seperti ini melibatkan kerjasama antara akademia dan komuniti menjadi asas penting bahawa usaha pemuliharaan bukan sekadar tanggungjawab
penyelidik, malah amanah bersama demi masa depan sumber makanan laut yang mampan untuk generasi akan datang.
















