Gambar hiasan

ADALAH tidak dinafikan, dunia sedang menyaksikan pertumbuhan teknologi digital dan internet dalam skala yang luar biasa sejak beberapa tahun yang lalu. Kepesatan perkembangan teknologi ini telah membawa revolusi yang sangat besar terhadap segenap aspek kehidupan manusia.

Dalam konteks Malaysia, kejayaan ini telah berjaya digapai berkat daripada hasil pengasasan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1996. Sejak daripada itu, melalui inisiatif ini, jumlah capaian akses internet telahpun meningkat dari tahun ke tahun, hasil daripada sokongan dan campurtangan aktif oleh pihak kerajaan terutamanya dalam menerajui pembangunan infrastruktur yang berkaitan.

Hasilnya, setakat 2024, negara telah mencatatkan 33.59 juta pengguna internet pendaftar daripada keseluruhan 34 juta penduduknya. Pada tahun 2025, statistik juga menunjukkan bahawa Malaysia telah mencapai tahap pencapaian internet yang tinggi iaitu 97.5% daripada jumlah penduduknya, dimana meletakkan negara ini sebagai diantara negara yang mempunyai jumlah peratusan capaian internet yang tertinggi didunia.

Namun, di sebalik kejayaan ini terdapat juga bahaya yang timbul akibat daripada penggunaan internet yang berlebihan. Di antara cabaran yang timbul akibat daripada perkembangan ini adalah isu ketagihan internet dikalangan rakyat Malaysia.

Menurut data, secara puratanya rakyat Malaysia menhabiskan masa sebanyak 8 jam 17 minit sehari melayari internet, dimana ianya jauh lebih tinggi daripada purata global iaitu hanya selama 6 jam 30 minit sehari.

Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai permasalahan yang tidak diingini dan mampu menimbulkan masalah berkaitan kesihatan dan juga sosial.

Apa Itu Ketagihan Internet Dan Mengapa Ianya Perlu Dikawal?

Ketagihan internet telah menjadi satu fenomena psikososial yang semakin membimbangkan dalam era digital masa kini. Secara umumnya, istilah ini merujuk kepada pola penggunaan internet yang berlebihan dan tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan seharian seseorang, termasuk aspek fizikal, emosi, sosial, dan akademik atau profesional.

Walau bagaimanapun, tidak terdapat satu definisi tunggal yang diterima secara universal bagi ketagihan internet kerana tafsirannya berbeza mengikut konteks dan pendekatan disiplin.

Salah satu definisi yang sering dirujuk adalah daripada Shaw dan Black, yang menyifatkan ketagihan internet sebagai satu bentuk keasyikan, dorongan, atau tingkah laku impulsif yang berlebihan terhadap penggunaan komputer atau akses dalam talian, sehingga mengakibatkan gangguan terhadap fungsi harian atau menyebabkan kesengsaraan psikologi kepada individu yang terlibat.

Definisi ini menekankan bahawa ketagihan bukan hanya tentang masa yang dihabiskan dalam talian, tetapi lebih kepada kesan negatif terhadap kesejahteraan individu.

Selanjutnya, The American Centre for Online Addiction telah mengkategorikan ketagihan internet kepada enam bentuk utama berdasarkan tingkah laku pengguna. Pertama ialah ketagihan terhadap bahan lucah dalam talian, yang melibatkan penggunaan kandungan pornografi secara berulang.

Kedua ialah penggunaan aplikasi janji temu secara kompulsif, di mana individu menghabiskan masa yang berlebihan untuk berinteraksi atau mencari pasangan dalam talian sehingga mengabaikan tanggungjawab kehidupan sebenar.

Ketiga ialah ketagihan terhadap media sosial, yang sering dikaitkan dengan keperluan berterusan untuk mendapat pengesahan sosial (social validation) melalui tanda suka, komen, dan perkongsian kandungan. Keempat ialah ketagihan terhadap permainan video dalam talian, yang boleh menyebabkan gangguan tidur, keletihan fizikal, dan pengasingan sosial.

Kelima ialah ketagihan kepada pencarian maklumat, di mana individu meluangkan masa yang berlebihan untuk melayari laman sesawang bagi mencari maklumat yang mungkin tidak berkaitan secara langsung dengan keperluan sebenar.

Keenam ialah kebergantungan melampau terhadap penggunaan komputer, di mana individu merasa resah, tertekan, atau tidak selesa apabila tidak dapat mengakses peranti digital atau internet.

Dalam lanskap digital yang semakin kompleks dan dipacu oleh kecerdasan buatan serta algoritma prediktif, bentuk ketagihan internet yang lebih moden telah muncul, termasuk fenomena yang dikenali sebagai doom scrolling.

Istilah ini merujuk kepada amalan menatal (scrolling) kandungan dalam talian, terutamanya melalui media sosial, secara obsesif dan berterusan walaupun kandungan tersebut bersifat negatif, menakutkan, atau meresahkan. Perilaku ini bukan sahaja mengganggu kesihatan mental pengguna, tetapi juga mencerminkan kesan manipulatif algoritma platform media sosial yang direka untuk mengekalkan perhatian pengguna selama mungkin.

Algoritma ini menyajikan kandungan yang bersifat menarik, sensasi, dan sering kali bersifat provokatif, menjadikan pengguna terperangkap dalam gelung penggunaan yang sukar dihentikan.

Ketagihan Internet perlu dikawal kerana ianya memberi kesan yang signifikan kepada kesejahteraan individu dan masyarakat. Dari aspek kesihatan mental, individu yang mengalami ketagihan internet adalah terdedah kepada gejala kemurungan, tekanan perasaan, dan juga kemurungan.

Dari perspektif kesihatan fizikal pula, penggunaan peranti digital yang berlebihan mampu menyebabkan masalah obesiti dan penyakit kronik yang lain, hasil daripada gaya hidup digital yang bersifat sedantiri.

Apa yang lebih membimbangkan, ketagihan internet juga mampu berpotensi untuk menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk tingkah laku yang tidak bermoral ataupun yang bersifat jenayah didalam talian.

Sebagai contoh, penggunaan internet yang berlebihan mampu meningkatkan keberangkalian seseorang untuk terdedah atau terlibat dalam aktiviti buli siber, gangguan seksual dalam talian, penyebaran bahan lucah, eksploitasi digital, serta penyertaan dalam kumpulan ekstremis yang mampu menyumbang kepada penyebaran kebencian dan ideologi berbahaya dikalangan masyarakat.

Hak Asasi Manusia, Akses Kepada Internet Dan Pendekatan Antarabangsa Dalam Menangani Gejala Ketagihan Internet

Dalam konteks kontemporari, akses terhadap internet kini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia, dimana ianya amat berkait rapat dengan hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk menikmati kehidupan yang berkualiti dan juga hak kebebasan bersuara.

Perkara ini disokong secara jelas oleh dokumen-dokumen hak asasi antarabangsa seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dimana hak kebebasan bersuara diiktiraf secara jelas melalui Perkara 19 Deklarasi tersebut. Hak kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat turut diiktiraf dibawah Perkara 19 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Walaupun yang demikian, hak-hak ini boleh disekat sekiranya ianya memenuhi kriteria sekatan tertentu seperti bagi tujuan untuk melindungi moral, ketenteraman awam, dan juga kesihatan umum. Walaupun hak akses kepada internet tidak dinyatakan secara khusus didalam konteks UDHR dan ICCPR, namun terdapat pelbagai usaha telah dijalankan diperingkat antarabangsa bagi mengiktiraf hak tersebut secara kendiri.

Misalnya, pada 2016, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan satu resolusi mengecam tindakan mana-mana kerajaan yang sengaja mengganggu akses internet rakyatnya. Resolusi itu juga turut menegaskan bahawa hak kebebasan yang dinikmati oleh seseorang individu diluar talian haruslah turut dilindungi didalam talian.

Masalah ketagihan internet telah mendorong beberapa langkah proaktif yang bersifat perundangan mahupun polisi bagi mencegah fenomena ini dalam kalangan rakyatnya khususnya dikalangan kanak-kanak.

Negara-negara Asia Timur, seperti Korea Selatan, China dan Jepun merupakan diantara negara terawal didunia yang memperkenalkan inisiatif untuk menghadkan masa penggunaan internet, melaksanakan kem rehabilitasi digital serta pendidikan literasi digital.

Dalam pada itu, pada 2023 Parlimen Kesatuan Eropah (EU) juga telah mengusulkan untuk menggubal satu undang-undang khusus untuk menangani ketagihan internet. Malah, pada tahun 2024, California muncul sebagai wilayah pertama di Amerika Syarikat yang memperkenalkan undang-undang mencegah ketagihan internet dikalangan kanak-kanak.

Dalam konteks Malaysia pula, Perlembagaan Persekutuan turut menjamin hak-hak asasi yang berkait rapat dengan kebebasan digital. Perkara 5 menjamin kebebasan diri dan juga hak untuk kehidupan yang berkualit, manakala Perkara 10 memperuntukkan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Berdasarkan tafsiran moden dan perkembangan teknologi, hak untuk mengakses internet boleh dianggap sebagai elemen pelengkap kepada perlaksanaan hak-hak ini. Namun begitu, adalah penting untuk difahami bahawa hak-hak tersebut tidak bersifat mutlak. Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan sekatan terhadap kebebasan tersebut atas alasan yang sah seperti keselamatan negara, ketenteraman awam, prinsip moral, dan hubungan luar negeri.

Keadaan ini sudah tentu menimbulkan dilema dikalangan penggubal polisi, dimana walaupun wujud keperluan untuk menggubal undang-undang ataupun dasar untuk menangani ketagihan internet, namun ianya perlulah dilaksanakan secara berhati-hati. Cabaran utama pada hemat penulis adalah mencari titik tengah diantara melindungi hak asasi yang diutarakan, serta mencegah kemudaratan akibat penggunaan internet secara berlebihan.

Oleh yang demikian, adalah disarankan bahawa langkah bersifat progresif yang turut melibatkan pihak-pihak berkepentingan haruslah diambil bagi memastikan ekosistem digital kekal sihat tanpa mengorbankan asas-asas dan hak asasi manusia.

Kesimpulan

Usaha untuk menangani ketagihan internet memerlukan satu pendekatan yang menyeluruh yang sebahagian besarnya haruslah dipacu oleh aspek perundangan dan pendidikan. Kempen kesedaran awam, seperti inisiatif ”Kempen Internet Selamat” yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), wajar diperkasa. Dalam pada itu,  kawalan kendiri dan pembentukan tabiat penggunaan internet secara berhemah perlu digalakkan bagi memastikan keseimbangan antara akses digital dan kesejahteraan hidup.

Dr. Hafidz Hakimi Haron

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast