KUALA LUMPUR – Seorang bekas perunding amanah saham (UTC), Nadihah Nawi (Nadihah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas kesalahan berkaitan penipuan sekuriti melibatkan pelaburan amanah saham yang didakwa.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan barkata, Nadihah, 34 tahun, berdepan dua pertuduhan bersama seorang individu lain yang kini masih bebas, di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa menipu dua pelabur berjumlah RM20,000 dengan memperdayakan mereka kononnya melabur dalam amanah saham di Kenanga Investors Berhad, antara Januari hingga Jun 2022
Wang yang didepositkan oleh pelabur-pelabur itu sebaliknya telah digunakan oleh tertuduh untuk pelaburan amanah sahamnya sendiri di Kenanga Investors Berhad.
Pada masa kejadian, tertuduh adalah UTC dengan Principal Asset Management Berhad.
Nadihah mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Izralizam bin Sanusi, dan telah dibenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC di pejabat SC Kuala Lumpur setiap bulan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak memerintahkan pasport Nadihah diserah kepada mahkamah kerana pasport tersebut telah tamat tempoh pada tahun 2023.
Jika sabit kesalahan, Nadihah berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
SC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyemak sebarang tawaran pelaburan melalui Investment Checker SC di www.sc.com.my/investment-checker.
-MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















