BAITULMAQDIS – Beratus-ratus pegawai keselamatan Israel yang bersara termasuk bekas ketua agensi perisikan mendesak Presiden Donald Trump untuk memberi tekanan kepada kerajaan mereka sendiri untuk menamatkan perang di Gaza.
“Adalah pertimbangan profesional kami bahawa Hamas tidak lagi menimbulkan ancaman strategik kepada Israel.
“Pada mulanya perang ini adalah perang yang adil, perang pertahanan, tetapi apabila kita mencapai semua objektif ketenteraan, perang ini tidak lagi menjadi perang yang adil,” kata Ami Ayalon, bekas pengarah perkhidmatan keselamatan Shin Bet menerusi surat terbuka yang dikongsi dengan media pada hari Isnin.
Surat itu ditandatangani oleh tiga bekas ketua Mossad iaitu Tamir Pardo, Efraim Halevy dan Danny Yatom.
Penandatangan lain termasuk lima bekas ketua Shin Bet iaitu Αyalon serta Nadav Argaman, Yoram Cohen, Yaakov Peri dan Carmi Gilon dan tiga bekas ketua kakitangan tentera, termasuk bekas perdana menteri Ehud Barak, bekas menteri pertahanan Moshe Yaalon dan Dan Halutz.
Perang Gaza-Israel menghampiri bulan ke-23, “menyebabkan Israel kehilangan keselamatan dan identitinya,” kata Ayalon menerusi video yang dikeluarkan untuk mengiringi surat itu.
Ditandatangani oleh 550 orang, termasuk bekas ketua Shin Bet dan agensi perisik Mossad, surat itu menyeru Trump untuk “mengemudi” Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ke arah gencatan senjata.
Israel melancarkan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan maut 7 Oktober 2023 oleh kumpulan militan Palestin Hamas.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini tekanan antarabangsa ke atas Israel semakin meningkat untuk bersetuju gencatan senjata supaya tebusan Israel dibebaskan dari Gaza dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dapat mengagihkan bantuan kemanusiaan.
Tetapi beberapa pemimpin Israel, termasuk menteri dalam kerajaan gabungan Netanyahu mendesak agar tentera Israel meneruskan perang agar Gaza dapat diduduki secara keseluruhan atau sebahagian.
Surat itu mendakwa tentera Israel “telah lama mencapai dua objektif yang boleh dicapai dengan kekerasan iaitu membongkar formasi dan pemerintahan tentera Hamas.
“Yang ketiga, dan paling penting, hanya boleh dicapai melalui perjanjian – membawa pulang semua tebusan.
“Bekerjasama dengan Hamas boleh dilakukan kemudian,” kata surat itu.
Dalam surat itu, bekas pegawai Israel mendakwa Trump mempunyai kredibiliti dengan majoriti rakyat Israel dan boleh memberi tekanan kepada Netanyahu untuk menamatkan perang dan mengembalikan tebusan.
Selepas gencatan senjata, para penandatangan berhujah, Trump boleh memaksa pakatan serantau untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin yang diperbaharui untuk mengambil alih Gaza sebagai alternatif kepada pemerintahan Hamas. – Agensi
















