Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai di Putrajaya. foto Pejabat Perdana Menteri. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia menghantar tentera pengaman dalam konflik peperangan di sempadan Thailand dan Kemboja ketika ini.

Malah, ujar Perdana Menteri, kesemua pemimpin negara ASEAN juga bersedia menghantar pasukan pengaman masing-masing di wilayah bergolak tersebut sekiranya diminta oleh kerajaan Thailand dan Kemboja.

Bagaimanapun, jelas beliau, tiada keperluan buat masa ini untuk Malaysia atau mana-mana negara ASEAN lain menghantar tentera pengaman berikutan situasi ketegangan yang disifatkan terkawal.

Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN bagi mencari penyelesaian serta hala tuju konflik tersebut termasuk meneruskan gencatan senjata yang akan dimuktamadkan pada 7 Ogos ini.

“Sama ada perlu kehadiran tentera negara lain atau pasukan tentera tetap di wilayah bergolak itu akan diputuskan kemudian, setakat ini atase-atase pertahanan ASEAN hanya memantau dari jauh.

“Setakat ini yang diminta oleh kerajaan Thailand dan Kemboja adalah supaya Malaysia menyelaraskan rundingan antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang mencapai kata sepakat untuk menghentikan konflik sempadan antara kedua-dua negara tersebut.

Perkara sama turut dibangkitkan Ketua Pembangang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika bertanyakan soalan tambahan, yang menuntut penegasan daripada kerajaan berhubung kesediaan Malaysia menghantar tentera pengaman di wilayah bergolak Thailand dan Kemboja tersebut sama seperti yang dilakukan dalam perang di Congo dan Bosnia suatu ketika dulu.

Sementara itu, Anwar berkata, pemimpin tentera khususnya di wilayah bergolak di Thailand dan Kemboja hari ini juga mengadakan pertemuan di ibu negara yang diselaraskan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia.

Ujar beliau, pertemuan itu sebagai rundingan awal sebelum pemimpin kerajaan kedua-dua negara mencapai kata sepakat berhubung konflik tersebut pada 7 Ogos ini.

“Mudah-mudahan ada penyelesaian yang dicapai sama ada peperangan dapat ditamatkan atau sekurang-kurangnya menghentikan atau meneruskan gencatan sejata dan menjamin tidak ada lagi perlanggaran peraturan termasuk di kawasan-kawasan sempadan yang dipertikai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast