KUALA LUMPUR – Lebih 150 profesional sumber manusia, pemimpin perniagaan dan pembuat dasar berkumpul di sini sempena Forum Sumber Manusia, Kepimpinan dan Bakat Negara 2025 yang berlangsung hari ini.
Forum anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dengan kerjasama Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) itu mengangkat tema Ke Arah Bakat Masa Depan dan Tenaga Kerja Bersedia Hadapi Cabaran.
Ia selaras dengan keperluan negara mempersiapkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman terutama dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).
Presiden KSI, Tan Sri Michael Yeoh dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan kepimpinan beretika dan dasar sumber manusia yang berpandangan jauh.
Beliau menyifatkan forum itu medan penting untuk merangka masa depan HR negara yang lebih inklusif, strategik dan bersedia mendepani Revolusi Industri Keempat.
“Malaysia kini berada di persimpangan penting. Kita sedang berdepan dengan kekurangan bakat dalam industri utama, keperluan mendesak untuk peningkatan kemahiran, serta cabaran untuk menyesuaikan teknologi dengan modal insan,” katanya.
Michael Yeoh juga menggesa kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan akademik bagi memastikan pembangunan modal insan kekal sebagai keutamaan negara.
“Tahun ini Malaysia mempengerusikan ASEAN. Maka adalah tanggungjawab kita untuk menjadi contoh dalam inovasi pembangunan modal insan serantau.
“Forum seperti ini bukan hanya membentuk dasar masa depan, malah membentuk cara fikir dan budaya kepimpinan hari ini,” ujarnya.

Selain itu, ucapan dasar forum disampaikan oleh mantan Ketua Hakim Negara merangkap Canselor Universiti Multimedia (MMU), Tun Zaki Tun Azmi yang mengupas tema Mandat Kepimpinan: Etika, Tadbir Urus dan Integriti.
Beliau menegaskan, nilai integriti dan amanah adalah asas kepada organisasi yang cekap dan mampan.
Forum berlangsung sepanjang hari itu turut membincangkan isu-isu kritikal dalam landskap HR Malaysia termasuk kekurangan tenaga kerja berkemahiran akibat penghijrahan bakat, keterlibatan pekerja yang rendah khususnya dalam kalangan generasi muda (Gen Z), serta ketidaktentuan pelaksanaan dasar kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusiviti (DEI).
Salah satu kemuncaknya adalah Penyampaian Anugerah Kecemerlangan HR dan Kepimpinan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dan organisasi dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan amalan kepimpinan beretika.
Difahamkan forum ini turut menerima sokongan penajaan korporat daripada Chmiel Global Advisory / GoFlex Events. -MalaysiaGazette
















