BATU PAHAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di kedai-kedai di Bandar Ayer Hitam, dekat sini, semalam yang dijadikan warga asing sebagai ‘Mini Pakistan’.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Belanja, Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip itu dilakukan bermula 2.25 petang.
“Operasi ini membabitkan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor, pegawai dari Bangunan Sultan Iskandar serta kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Seramai 35 individu termasuk tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di premis-premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, hasil risikan awal dan maklumat awam JIM berjaya menahan 20 lelaki warganegara Pakistan, sembilan lelaki Bangladesh, seorang lelaki Indonesia serta dua wanita Indonesia.
Semua mereka katanya, dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan tanpa dokumen sah serta menyalahgunakan pas yang diberikan.
Jelas beliau, tiga lelaki tempatan yang ditahan dipercayai merupakan pemilik dan penyelia premis yang menggaji serta melindungi warga asing terbabit.
“Siasatan awal mendapati, kesemua warga asing berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tinggal tanpa permit sah dan melanggar syarat pas,” ujarnya.
Dua warga tempatan pula katanya, ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing manakala seorang lagi bersama-sama seorang warga asing ditahan bawah Seksyen 55E kerana membenarkan kemasukan dan penempatan warga asing di premis.
Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.
Mohd Rusdi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau premis yang bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Imigresen Johor komited untuk mempergiat operasi seumpama ini bagi membanteras lambakan PATI serta penyalahgunaan pas dan permit oleh warga asing di negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Imigresen menahan warga asing dalam operasi di Bandar Ayer Hitam, Batu Pahat semalam
















