Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Penyertaan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo ke dalam Bersatu bukan kerana UMNO sudah hilang arah tuju, sebaliknya beliau sedang mencari peluang untuk menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendedahkan, Khir cuba menyambung cita-cita politiknya yang terbantut dalam bekas partinya, walaupun beberapa kali melakukan “comeback” namun gagal.

“Khir Toyo masuk Bersatu bukan kerana mahu perkuatkan pengaruh parti itu di anjung utara Selangor, sebaliknya beliau mahu merampas kerusi Parlimen Sabak Bernam daripada cikgu Kalam Salan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Khir memberitahu MalaysiaGazette penyertaan beliau ke dalam Bersatu bukan kerana tawaran atau laba politik tertentu, sebaliknya kerana UMNO sudah hilang arah tuju di bawah kepimpinannya presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khir juga memberitahu MalaysiaGazette, beliau mempersoalkan pimpinan UMNO yang enggan bertanding di semua kerusi Parlimen dalam PRU16 akan datang dan hanya menjadi parti pelengkap kepada Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Jamal juga mendedahkan, helah Khir dibongkarkan sendiri pimpinan Bersatu yang merasakan muslihat bekas Menteri Besar itu hanya merugikan masa depan Bersatu.

“Ada pimpinan Bersatu sendiri beritahu saya rancangan Khir untuk berebut kerusi Parlimen Sabak Bernam daripada wakil rakyat Bersatu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast