Mawi.

KUALA LUMPUR – Solo penyanyi dan pengarah, Mawi iaitu Konsert Tsumawi Mawi World Live In Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung Julai lalu sah dibatalkan secara rasmi selepas lapan bulan tertangguh.

Pengumuman pembatalan itu dibuat pihak penganjur, Showtag Asia, menerusi satu hantaran di akaun rasmi Instagram.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan terpaksa diambil atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan walaupun telah berusaha sehabis baik bagi menjayakan acara berkenaan.

“Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi 20 Mawi World Live In KL yang sepatutnya berlangsung pada 25 Januari 2025 dan kemudian ditunda ke Julai, terpaksa dibatalkan atas faktor-faktor di luar kawalan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan peminat selama ini. Terima kasih atas kepercayaan dan pemahaman anda semua,” jelas pihak penganjur.

Melalui entri yang sama, Showtag Asia turut memaklumkan urusan pemulangan semula tiket akan dilakukan sepenuhnya oleh pihak mereka dan tidak lagi melibatkan rakan kerjasama Santai.La.

“Segala proses pemulangan tiket ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan Showtag Entertainment. Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kami sudah berusaha sedaya upaya, namun terpaksa akur dengan ketentuan takdir.

“Kepada semua peminat yang setia menanti, menyokong dan menyuntik semangat, kami ucapkan setinggi-tinggi penghargaan. Kami benar-benar menghargai anda,” kata kenyataan itu lagi.

Pada September tahun lalu, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, mengumumkan konsert solo tersebut sebagai kemuncak kepada sambutan 20 tahun pembabitannya dalam industri seni tanah air.

Dalam majlis pengumuman konsert berkenaan, Mawi mencuri tumpuan apabila tampil membotakkan kepala iaitu simbolik kepada permulaan baharu dalam karier seninya selepas tujuh tahun membela rambut panjang hingga paras bahu.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 25 Januari 2025 di Megastar Arena, Kuala Lumpur itu kemudiannya ditunda ke Julai susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika itu sebagai tanda solidariti terhadap mangsa terjejas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast