JOHOR BAHRU – Sindiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh terhadap pemimpin pemuda DAP supaya diberi kad orang kurang upaya (OKU) kerana gagal memahami isu Jalur Gemilang terbalik adalah keterlaluan.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain menganggap sindiran tersebut adalah jelas tidak beradab dan tidak bertanggungjawab dengan mengaitkan status OKU.
Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata, perkara itu adalah satu penghinaan terbuka terhadap komuniti OKU di negara ini.
“Kenyataan seperti ini sangat tidak wajar dan mencerminkan kedangkalan pemikiran politik yang semakin jauh dari adab serta nilai kemanusiaan.
“Sindiran terhadap status OKU adalah satu penghinaan terbuka terhadap komuniti OKU di negara ini. Ia bukan sahaja tidak sensitif, malah menunjukkan sikap tidak matang dan gagal memahami erti kepimpinan yang berjiwa rakyat.
“Golongan OKU adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang seharusnya dilindungi, bukan dijadikan bahan sindiran murahan oleh pemimpin politik,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Dr Akmal menerusi laman sosial menyelar pihak yang mempertikaikan tindakannya bersuara dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menerusi satu kenyataan, Dr Akmal memuat naik sindiran tajam kepada pihak tertentu yang dianggap gagal memahami asas patriotisme dan tanggungjawab terhadap simbol negara.
“Tolong bagi mereka ini (DAPSY) cermin dan kad OKU sekali. Malas nak taip panjang-panjang dah, sebab bebal sangat nak faham,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Terdahulu, Dr Akmal menggesa pihak berkuasa meneruskan siasatan meskipun selepas didedahkan bahawa bendera yang terbalik di sebuah sekolah vernakular berkenaan dipasang oleh pekerja berkeperluan khas.
Mempersoalkan kebijaksanaan pihak sekolah mengamanahkan tugas menaikkan bendera kepada orang sedemikian, dia berkata: “Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali.”
Dia turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat identiti dan keadaan individu yang dikatakan OKU itu.
Mengulas lanjut, Zuhan berkata, apa yang lebih mengecewakan isu bendera terbalik kini digunakan sebagai modal politik sempit dengan menunggang semangat patriotisme secara selektif.
“Di mana suara Pemuda UMNO apabila insiden bendera terbalik berlaku di bangunan agensi kerajaan, syarikat swasta atau sekolah lain?
“Mengapa hanya apabila melibatkan institusi pendidikan vernakular, isu ini ditunggang secara besar-besaran?
“Amanah Johor berpegang kepada politik adab dan nilai madani yang mengajak kepada kasih sayang, harmoni serta membina perpaduan dalam masyarakat.
“Tindakan ketua Pemuda UMNO ini jelas bertentangan dengan semangat itu, malah menjurus kepada budaya politik kebencian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Justeru Zuhan menyeru agar UMNO menilai kembali corak kepimpinan dalam sayap pemuda mereka.- MalaysiaGazette
















