BATU PAHAT – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam menahan enam individu dan merampas peralatan vape berjumlah lebih RM1.2 juta dalam Ops Op Taring Alpha 3 menerusi serbuan sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru kelmarin.
Pegawai Memerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Salehin Suleiman berkata, operasi bersepadu itu dilakukan pukul 12 tengah hari melibatkan premis-premis di kawasan Baru Pahat, Ayer Hitam, Yong Peng dan Johor Bahru.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit berjaya menahan enam warga tempatan berumur 20 hingga 39 tahun. Kita turut merampas 5,215 unit peranti vape dan 13,968 unit cecair vape.
“Sebanyak enam notis sitaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas semua premis kerana tiada sebarang dokumen peniagaan penjualan cecair dan peranti vape (rokok elektronik) yang sah.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan RM1,219,300. Kes disiasat pihak polis dan agensi berkaitan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, operasi itu berjaya mengekang aktiviti penyimpanan dan penjualan peranti vape sekitar kawasan Batu Pahat, Yong Peng, Ayer Hitam dan Johor Bahru.
Menurutnya, operasi itu adalah hasil kerjasama dan melibatkan sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasa Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) serta Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB).
Tambahnya, ini termasuk bantuan penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) Cawangan Batu Pahat dan Johor Bahru.
Kerjasama itu ujarnya, akan terus diperkukuh dalam usaha membenteras kegiatan penjualan cecair dan peranti vape yang semakin membimbangkan.
Pihaknya menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang aktiviti penyimpanan dan penjualan peranti rokok elektronik melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.- MalaysiaGazette
















