KUALA LUMPUR – Sebarang perancangan yang disusun untuk Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz susulan penyertaan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menunggu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Aktivis PKR, Fairul al-Qasas berpendapat, jalan pintas tidak seharusnya dibuka buat Tengku Zafrul oleh parti itu termasuk diangkat sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kadar segera.
Malah beliau turut mengingatkan mengadakan pilihan raya kecil (PKR) untuk mengangkat Tengku Zafrul dalam situasi politik hari ini akan mengundang kritikan orang ramai.
“Untuk mengadakan PRK bagi kerusi Parlimen memang sudah tidak sesuai memandangkan Parlimen akan matang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
“Tetapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) masih sesuai tetapi ia bukan langkah wajar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Fairul yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau ditanya berkenaan kemungkinan rancangan yang sedang disusun untuk Tengku Zafrul selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengesahkan beliau kini merupakan ahli PKR Cabang Ampang.
Pengumuman itu mengundang pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan diadakan PRK bagi membolehkan Tengku Zafrul bertanding untuk dilantik semula sebagai menteri memandangkan tempoh senatornya berakhir hujung tahun ini.
Malah terdapat desas-desus Tengku Zafrul sedang dipersiapkan untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari yang kononnya akan ditawarkan jawatan menteri.
Spekulasi itu juga semakin hangat diperkatakan selepas berlaku dua kekosongan Kabinet pada 28 Mei lalu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bagaimanapun, kesemua pihak yang dikaitkan dalam desas-desus itu telah menafikan tersebut malah dua jawatan menteri yang kosong sebelum ini juga sudah berganti.
Sementara itu, Fairul berkata, PKR juga perlu berhati-hati dalam menyusun perancangan buat Tengku Zafrul memandangkan parti belum berjaya meredakan kemarahan ahli susulan penyingkiran Rafizi daripada jawatan Timbalan Presiden PKR.
Apatah lagi, ujarnya, Rafizi sehingga kini membuktikan sokongan terhadapnya masih kuat yang dapat dilihat menerusi kehadiran ramai penyokongnya ketika pelancaran program Ayuh Malaysia baru-baru ini.
“Dalam keadaan seperti ini, adalah lebih baik mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sehingga akhir penggal daripada membuat PRK mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette
















