GSC muat naik poster filem lakonan lagenda perfileman India, Rajinikanth sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Penantian peminat filem Tamil di Malaysia kini berakhir apabila Golden Screen Cinemas (GSC) akhirnya mengumumkan akan menayangkan filem mega aksi-thriller Coolie lakonan legenda ‘Superstar’ Rajinikanth.

GSC memaklumkan jualan tiket akan dibuka bermula esok, 12 Ogos jam 12 tengah hari melalui platform dalam talian dan di kaunter fizikal di semua cawangan terpilih.

Sebelum ini, Coolie yang diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj mencetuskan fenomena global dengan aksi pra-jualan tiket yang luar biasa di beberapa negara, termasuk Malaysia dengan hampir 60,000 tiket telah terjual di pawagam tempatan sejak jualan awal dibuka walaupun GSC belum menawarkan sebarang tiket pada ketika itu.

Pada 8 Ogos lalu, MalaysiaGazette melaporkan GSC tidak menyenaraikan Coolie dalam jadual tayangan awalnya, walaupun pawagam lain seperti TGV, LFS dan MBO sudah membuka jualan tiket.

Laporan itu menyebut kebimbangan dalam kalangan peminat yang bimbang filem tersebut tidak akan ditayangkan di rangkaian pawagam terbesar negara.

MalaysiaGazette turut mendedahkan telah menghubungi GSC untuk mendapatkan penjelasan dengan  GSC memberi maklum balas bahawa mereka masih berada di peringkat perbincangan dan akan membuat pengumuman rasmi kelak.

Jawapan itu pada masa tersebut menambah lagi tanda tanya, malah mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.

Kini, semua persoalan terjawab apabila GSC mengesahkan tayangan filem itu dengan kenyataan penuh bersemangat di media sosial:

“The wait is over… Aatham Aarambam! Tickets for #Coolie will go on sale tomorrow, 12PM! Let’s goooo!”

Coolie yang diterbitkan oleh Sun Pictures menampilkan Rajinikanth dan pelakon popular lain seperti Amir Khan dalam watak penuh karisma, sarat dengan adegan aksi lasak dan elemen hiburan massa.

Filem ini dijangka menjadi salah satu tayangan Tamil paling berjaya tahun ini, dengan tayangan serentak seluruh dunia bermula pada 14 Ogos.

Di Malaysia, pengedaran Coolie dikendalikan oleh Malik Streams Corporation syarikat yang terkenal membawa masuk filem-filem Tamil berskala besar ke pasaran tempatan. -MalaysiaGazette

GSC tak tayang filem Coolie Rajinikanth?

‘Coolie’ Rajinikanth pecah rekod, lebih 55,000 tiket pra-jualan terjual sekelip mata

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast