Biro Displin dan Undang-undang Angkatan Muda Keadilan Selayang, Tong Liang Wang membuat laporan polis berkaitan video tular influencer Haoren mempermainkan lagu Negaraku di IPD Gombak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat tindakan pempengaruh media sosial yang dikenali Zhu Haoren dan beberapa individu lain yang telah  mempersenda Lagu Negaraku seperti rakaman yang tular baru-baru ini.

Biro Disiplin dan Undang-Undang AMK, Tong Liang Wang berkata, pempengaruh terbabit bersama rakan-rakannya didapati telah bergurau senda, membuat lawak dan merakam lagu kebangsaan Negaraku yang sedang dimainkan dalam satu majlis anugerah, sebelum memuat naik di saluran Youtube.

“Perbuatan ini bukan sahaja jelas menunjukkan sikap tidak menghormati lagu kebangsaan, malah kemungkinan melanggar Akta Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390) yang menetapkan setiap individu wajib berdiri tegak dan berkelakuan sopan semasa Lagu Negaraku dimainkan.

“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dikenakan denda atau hukuman penjara. Lagu Negaraku adalah lambang maruah, kedaulatan dan perpaduan negara. Ia tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau tontonan hiburan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Menurut Liang Wang, sebagai seorang individu berprofil tinggi dan berpengaruh, Haoren sepatutnya menjadi tauladan, berhati-hati dalam tindakan dan percakapannya serta mrnghormati simbol negara.

Katanya, setiap perbuatannya memberi impak besar kepada pengikut dan masyarakat dan ia merupakan tangggungjawab moral yang tidak boleh diabaikan.

“Kami menggesa pihak polis untuk segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

“Ia bagi memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mengulangi perbuatan yang boleh mencemarkan kehormatan negara,” tegasnya.

Katanya, pada masa sama pihaknya menyeru masyarakat termasuk ahli politik agar tidak cuba untuk mempolitikkan isu-isu sedemikian.

Tambahnya, tindakan cuba-mengapi-apikan isu seperti ini hanya akan menganggu gugat ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sementara itu, ditanya sama ada akan ada lagi laporan polis dibuat oleh AMK ditempat lain berhubung perkara tersebut, Liang Wang memberitahu, setakat ini hanya beliau sendiri yang melakukannya dan akan mengerahkan lagi anggota AMK untuk membuat perkara sama di kawasan lain.

“Saya rasa akan nada lebih banyak lagi laporan polis dibuat ditempat lain yang mungkin akan dibuat selewat-lewatnya petang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast