NURUL Izzah Anwar ketika menziarahi Noraidah Lamat iaitu ibu Zara Qairina Mahathir di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. - Foto: FB Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan kejadian yang menimpa Zara Qairina Mahathir menyatukan seluruh rakyat merentasi sempadan dan perbezaan.

Katanya, beliau tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan buat Zara Qairina sehingga individu yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal dan persekitaran yang selamat untuk generasi muda dapat diwujudkan.

Jelasnya, beliau juga akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan kes Zara Qairina.

NURUL Izzah Anwar memeluk Noraidah Lamat ketika menziarahi  ibu Zara Qairina Mahathir itu di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. – Foto: FB Nurul Izzah Anwar

“(Ini) kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi.

“Teruskan berdoa, usaha, dan tawakal – agar keadilan dan kebenaran ditegakkan, dan roh anakanda Zara ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, menurut Nurul Izzah, beliau ke Kota Kinabalu, Sabah dua minggu lalu untuk bertemu Noraidah Lamat, namun ibu kepada Zara Qairina itu masih belum bersedia untuk berjumpanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana hari ini diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepada Noraidah secara bersemuka.

“Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali.

“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara.

“Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria.

“Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia, dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama,” katanya.

Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast