MELAKA – Semua agensi khususnya pihak swasta di negeri ini diingatkan supaya memperhebatkan lagi kempen mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan sehingga Hari Malaysia 16 September ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini, beliau melihat semangat patriotik menerusi pengibaran bendera Malaysia masih kurang dan boleh dipertingkatkan lagi menjelang 31 Ogos ini.

“Saya melihat, walaupun sudah ramai juga pihak swasta memasang Bendera Malaysia di premis masing-masing, namun mungkin jumlahnya masih tidak lagi mencukupi.
“Bukanlah hendak melihat perkara ini dari sudut sedikit negatif cuma semangat itu mungkin boleh ditonjolkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Boules Piala Pusingan Datuk Rais Yasin di Tanjung Minyak Petanque Club, Kampung Kemboja, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), pihaknya sentiasa mempromosi dan menggalakkan lagi syarikat swasta dan premis-premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Saya telah minta semua PBT untuk melihat cara bagaimana untuk mempergiatkan lagi usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini bukan sahaja melalui kempen secara drastik.
“Kita mahu keseluruhan premis swasta termasuklah institusi pengajian atau sekolah swasta turut sama memeriahkan Bulan Kemerdekaan ini sehingga Hari Malaysia pada 16 September,” katanya. – MalaysiaGazette
















