Pelajar Universiti Teknologi Mara, Nurul Anis Syahirah Mohd Nasri mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara Kategori Rekaan Cincin di Anugerah Rekaan Barang Kemas PSG 2025.

KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Teknologi Mara, Nurul Anis Syahirah Mohd Nasri mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara Kategori Rekaan Cincin di Anugerah Rekaan Barang Kemas PSG 2025.

Turut membanggakan, sembilan pelajar UiTM lain berjaya melangkah sebagai finalis dalam pelbagai kategori pertandingan.

UiTM dalam kenyataan berkata, pertandingan berprestij itu menampilkan empat kategori utama – Kalung, Gelang, Cincin, dan Subang – dengan penyertaan peserta dari seluruh dunia termasuk Institut Kraf Negara (IKN) dan Raffles College.

Kategori kalung, gelang, dan subang telah dimenangi oleh pelajar dari China, menjadikan kemenangan Nurul Anis Syahirah sebagai satu-satunya kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa bagi kategori pelajar.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azhar Abd Jamil, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam. Acara dianjurkan oleh Elite Expo Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Tukang Emas & Barang Kemas Pulau Pinang serta  Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM.

Majlis turut diserikan dengan perasmian Penang Signature Gold Fair 2025 oleh Wong Hon Wai, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Parlimen Malaysia dengan ucapan pembukaan oleh Datuk Johnson Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo, serta Datuk Ivan Chee, Presiden Persatuan Tukang Emas & Barang Kemas Pulau Pinang.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju pendidikan industri kreatif negara, membuktikan komitmennya untuk melahirkan pereka barang kemas profesional yang mampu bersaing di pasaran global melalui inovasi, seni, dan kepakaran teknikal seterusnya membuka laluan kerjaya yang luas untuk para graduan dalam bidang ini. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast