Tertuduh, Rajaskana Sheik Abdul Kadar, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menikam adik kandungnya menggunakan sebilah gunting, minggu lalu.

MELAKA – Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menikam adiknya menggunakan sebilah gunting, minggu lalu.

Tertuduh, Rajaskana Sheik Abdul Kadar, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jogajohti Sheik Abdul Kadar, 35, menggunakan sebilah gunting yang mana ia adalah senjata serangan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Kandang Permai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 11.30 malam 12 Ogos 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama 326A KK.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhammad Zailani mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000.

Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruelektrik dan telah berkahwin menanggung dua anak serta adiknya iaitu mangsa dalam kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes.

MalaysiaGazette pada 13 Ogos lalu melaporkan mangsa, 35 tahun cedera parah selepas dipercayai ditikam abangnya selepas dua beradik itu dikatakan bergaduh sebelum berakhir insiden berdarah itu.

Bagaimanapun, suspek dikatakan sempat menelefon ambulans untuk membawa adiknya itu yang parah ke Hospital Melaka sebelum polis menahannya di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast