MELAKA – Pemilik sebuah kereta Mercedes AMG E53 tergamam apabila kenderaan mewah bernilai lebih RM700,000 dipandunya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak di sini.
Pengarah JPJ negeri, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, lelaki berusia 54 tahun itu bagaimanapun memberikan kerjasama baik dengan alasan terlupa apabila semakan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Ketika ditahan untuk pemeriksaan, pemandunya memberi alasan terlupa apabila semakan mendapati LKM telah tamat tempoh sejak 25 April lalu.
“Susulan itu, kita terpaksa menyita kenderaan mewah ini untuk siasatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari sejak Ahad lalu itu juga, JPJ menyita tiga lagi kenderaan mewah.
Ia termasuklah Porsche Taycan Cross Turismo, Toyota Alphard, Audi A5 selepas mendapati LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Audi berkenaan yang dipandu seorang wanita muda berusia 25 tahun selain sebuah Porsche dipandu lelaki berusia 33 turut disita atas kesalahan sama,” katanya. – MalaysiaGazette
















