Christopher Patit

MELAKA – Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah, di sini, yang mendakwa menjadi mangsa buli sehingga nyawanya terancam dan trauma untuk ke sekolah sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit bagaimanapun berkata, kesemua pihak yang terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes terbabit secara baik.

“Ya semalam polis ada terima laporan namun pihak sekolah telah membuat permuafakatan menyelesaikan kes itu yang berpunca daripada salah faham.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan mangsa berusia 16 tahun mendakwa, kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Bukit Piatu itu bermula apabila dia diejek dan diugut akan dicederakan kerana enggan memberikan wang kepada rakan sekelasnya.

Menurut sumber, kejadian bermula pada Mei lalu ketika pengadu berada di asrama di mana rakan sekelasnya meminta seorang lagi penghuni asrama membuat kutipan wang untuk membeli rak buku untuk mereka berdua.

Namun mangsa menolak untuk berbuat demikian kerana ia untuk kegunaan peribadi pelajar berkenaan.

Lebih mengejutkan, aduan ibu pelajar berkenaan kepada pihak sekolah yang mempunyai pelajar harian dan asrama itu menerusi mesyuarat pada 3 Julai lalu juga dinafikan pengurusan sekolah.

Akibatnya dakwa mangsa, dia menjadi bahan ejekan dua pelajar itu hampir setiap hari dengan perkataan ‘budak miskin’ membuatkan emosi dan mental mangsa terganggu sehingga takut hendak ke sekolah.

Mangsa mendakwa turut terdengar si pelaku meluahkan perasaan geram dan mahu menampar seseorang menyebabkan dia berasakan nyawanya terancam sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir tengah hari semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast