KUALA LUMPUR – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia melakar sejarah apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kursus intensif yang berlangsung di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak dari 10 hingga 22 Ogos itu turut mendapat kerjasama jurulatih penerjunan bertauliah daripada Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seramai 15 peserta menyertai kursus berkenaan yang terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan negara termasuk dua pegawai STAR Team, seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, manakala selebihnya daripada PASKUB Bomba.

Sepanjang latihan, para peserta berjaya melaksanakan 13 kali terjunan dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) Bomba 01 sebagai platform rasmi.

Penyertaan pertama STAR Team dalam kursus berprestij ini dianggap bersejarah kerana berlaku selepas 20 tahun pasukan elit Maritim Malaysia itu ditubuhkan. Ia bertujuan memperkukuh keupayaan taktikal serta kepakaran udara operator STAR Team dalam misi khas maritim.

Kursus ini turut menjadi saksi kepada penglibatan perintis daripada STAR Team iaitu Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor bersama Ketua Skuadron Gempur Sabah dan Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi.

Upacara pemakaian sayap kepakaran terjunan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad di Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya, pagi tadi.

Ia sekali gus mengiktiraf kejayaan para peserta menamatkan kursus berkenaan.

Turut hadir mewakili Kepimpinan Tertinggi Maritim Malaysia ialah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent Rajamony.

Kejayaan ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB Bomba, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan profesionalisme serta kesiapsiagaan aset elit negara di medan operasi sebenar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast