Mohd Haris Mohd Arshad

KUALA LUMPUR – SD Guthrie Berhad (Guthrie) melantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, berkuat kuasa 1 September 2025.

Mohd Haris, 53, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan syarikat tersebut.

Beliau menyertai Guthrie pada tahun 2014 sebagai Ketua Unit Perkilangan Hiliran sebelum
dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi Segmen Hiliran pada tahun 2017.

Berikutan penggabungan keseluruhan perniagaan hiliran Guthrie di bawah Sime Darby Oils pada tahun 2019, Mohd Haris telah dilantik sebagai Pengarah Urusan pertama perniagaan tersebut.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Sime Darby Oils dengan menerajui program transformasi, meningkatkan keuntungan segmen hiliran secara konsisten, serta mengetuai pelbagai inisiatif kecemerlangan operasi, kelestarian, tadbir urus, pendigitalan, keselamatan & kesihatan, dan pembangunan bakat.

Sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Mohd Haris telah membina asas kepada model perniagaan ‘OneStream’ syarikat.

Beliau yang merupakan penyokong kuat inisiatif mekanisasi, automasi dan pendigitalan industri sawit, kini juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pengerusi Lembaga Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM).

Mohd Haris juga salah seorang anggota Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Sebelum menyertai Guthrie, Mohd Haris pernah memegang jawatan kepimpinan dalam bidang perdagangan & pemasaran global, perolehan komoditi dan pengurusan risiko komoditi di syarikat-syarikat antarabangsa seperti Cargill, Nestlé dan Unilever.

Beliau juga merupakan graduan dari University of Arizona, Amerika Syarikat dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dan alumni Advanced Management Programme dari Harvard Business School, Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast