MELAKA – Pelajar tahun akhir sebuah kolej perubatan di Melaka kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium servis di Jalan Tun Perak di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.42 malam itu, pelajar lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan keluar dari bilik air dalam keadaan bogel dan melulu terjun dari tingkat tujuh bangunan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bakal doktor itu bagaimanapun terselamat dari maut apabila terjatuh di hadapan beranda luar di tingkat lima.
“Berdasarkan maklumat awal daripada rakan serumah mangsa, pelajar tahun akhir itu dikatakan sering terdengar suara bisikan sebelum dipercayai bertindak terjun dari rumahnya yang didiami bersama tiga rakan lain di tingkat tujuh.
“Dua tahun lalu semasa di Muar, Johor, mangsa juga pernah terjun dari tingkat empat bangunan namun terselamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Christopher, mangsa yang parah selepas terjatuh setinggi dua tingkat kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan menerima rawatan di Zon Merah.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan pelajar berkenaan kritikal selepas mengalami pendarahan di bahagian otak dan tengkorak akibat hentakan ketika jatuh.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur buli dalam kejadian ini malah, pelajar terbabit juga mempunyai hubungan yang baik dalam kalangan rakan kolejnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















