MELAKA – Penganjur swasta konsert di Panggung Bangsawan Melaka di sini pada malam Sabtu lalu didapati mematuhi semua garis panduan ditetapkan pihak pengurusan.
Pihak pengurusannnya dalam satu kenyataan berkata, walaupun acara berkenaan adalah dianjurkan pihak swasta yang menyewa premis berkenaan, suasana adalah terkawal.
Ia termasuklah daripada segi pemantauan pihak penganjur serta anggota keselamatan sepanjang acara berlangsung.
“Tiada sebarang kejadian liar atau masalah sosial berlaku sebagaimana didakwa malah tiada aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang dikesan sebelum, semasa atau pun selepas program tersebut berlangsung.
“Pihak penganjur telah mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Panggung Bangsawan termasuk aspek keselamatan, penggunaan premis dan pengurusan acara,” katanya.

Malah jelasnya lagi, program juga berakhir dengan teratur serta tidak berlarutan hingga ke lewat malam dan peraturan itu terpakai kepada mana-mana penganjur tanpa pengecualian demi keharmonian dan kelancaran acara.
“Justeru laporan berdasarkan komen warganet adalah tidak tepat dan boleh menjejaskan imej institusi seni ini.
“Pihak pengurusan akan terus komited memastikan Panggung Bangsawan kekal sebagai ruang seni dan budaya, terkawal serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette
















