KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap ‘sorok-sorok angka’ apabila menyatakan hutang negara semakin berkurang.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mednakwa, jika hutang semakin berkurang maka faedah hutang tidak sepatutnya meningkat
“Jika faedah meningkat, itu menunjukkan pokok hutang turut meningkat, bukannya berkurang. Jika kerajaan membuat bayaran balik hutang secara berkala, pokok hutang akan berkurang dan kadar faedah akan menurun.
“Jadi bagaimana mungkin faedah hutang lama ‘tiba-tiba’ meningkat? Perdana Menteri perlu secara serius dan jujur mendedahkan keadaan sebenar bukannya memperdayakan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Anwar dalam Dewan Rakyat baru-baru ini yang menegaskan hutang negara secara keseluruhannya bertambah berikutan beban faedah hutang lama yang diwarisi dan bukan disebabkan pinjaman baharu.
Namun, kata Anwar, rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang.
Selain itu, Dominic juga mempersoalkan sama ada kerajaan membuat bayaran balik hutang secara berkala dan tepat masa atau tidak sehingga mengakibatkan faedah hutang lama meningkat.
“Berdasarkan laporan rasmi Kementerian Kewangan, hutang kerajaan pusat pada Disember 2022 adalah RM1.0796 trilion manakala pada Jun 2025 mencecah RM1.3042 trilion iaitu peningkatan sebanyak RM224.6 bilion.
“Pokok hutang bertambah, barulah faedah bertambah. Melainkan data rasmi Kementerian Kewangan adalah palsu, jika tidak, kenyataan Perdana Menteri jelas cuba mengelak daripada isu sebenar.
“Jika benar seperti kata Perdana Menteri bahawa faedah hutang lama meningkat maka kaedah pengiraan faedah ini tidak ubah seperti Ah Long, cuma kadarnya tidak setinggi Ah Long,” katanya lagi.
Justeru beliau mengingatkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan supaya tidak cuba menuding tanggungjawab peningkatan jumlah hutang keseluruhan kepada kerajaan terdahulu.
“Jika Perdana Menteri tahu erti adab, integriti dan rasa malu, beliau seharusnya berasa malu dengan kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat. Perdana Menteri hanya perlu memberitahu rakyat sama ada pokok hutang meningkat atau tidak? Adakah bayaran balik dibuat tepat pada masanya? Rakyat akan jelas.
“Kita semua ada pengalaman membuat pinjaman dengan bank jika bayaran lewat, faedah akan berubah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















