Suspek pemuda berpewatakan wanita berusia 36 tahun direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini, kerana disyaki mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, Ahad lalu.

 

MELAKA – Seorang pemuda berpewatakan wanita direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini, kerana disyaki mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, di sini Ahad lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini sehingga 29 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, kejadian berlaku di Jalan Melaka Raya, Banda Hilir di sini kira-kira jam 2 petang 24 Ogos lalu ketika suspek pondan berkenaan yang memakai pakaian wanita menyerang mangsa lelaki tempatan berusia 40-an dari arah belakang.

“Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging tiba-tiba datang dari arah belakang dan menetaknya menyebabkan lelaki berusia 40-an itu cedera.

“Dalam keadaan panik, suspek kemudian berlari ke Balai Polis Banda Hilir memaklumkan kejadian sebelum anggota polis menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian membuat laporan kejadian dan mangsa yang dalam keadaan stabil masih menerima rawatan di Hospital Melaka.

“Sepasukan polis kemudian berjaya menahan suspek yang masih berpakaian wanita di lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam untuk reman hari ini.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek berasal dari Kuala Lumpur turut mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk berkaitan dadah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast