Penunjuk perasaan dihalang oleh polis dengan perisai semasa demonstrasi menuntut pembubaran Dewan Perwakilan Rakyat di jalan raya hadapan bangunan Dewan di Jakarta pada 25 Ogos 2025. (AFP/Yasuyoshi Chiba)

JAKARTA – Seramai 312 penunjuk perasaan yang terdiri daripada mahasiswa, orang awam dan pelajar sekolah termasuk 205 individu bawah umur, ditahan kerana merusuh di luar Kompleks Dewan Rakyat, Jakarta, semalam.

Mereka yang ditahan dibawa menaiki dua kenderaan taktikal ke ibu pejabat Polis Metropolitan Jakarta untuk disoal siasat.

Media tempatan melaporkan, protes di luar kompleks DPR itu memuncak dan menjadi huru-hara apabila penunjuk perasaan menolak cadangan kenaikan elaun mewah yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen.

Demonstrasi yang bermula pada jam 10:00 pagi itu berlangsung hingga malam.

Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kekecohan tersebut.

Pergelutan berlaku selepas kumpulan penunjuk perasaan yang berpakaian gelap, membaling batu dan menyalakan bunga api ke arah polis rusuhan ketika mereka cuba memecah masuk ke bangunan Parlimen Indonesia.

Sekurang-kurangnya sebuah motosikal dibakar oleh penunjuk perasaan, namun pihak berkuasa tidak memberikan butiran mengenai kerosakan, sebarang kecederaan atau tangkapan.

Para penunjuk perasaan berang selepas laporan terbaru mendedahkan bahawa 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat menerima elaun perumahan sebanyak 50 juta rupiah (AS$3,075) sebulan sejak September 2024.

Mereka menganggap elaun itu tidak adil memandangkan kebanyakan rakyat berdepan kesukaran ekonomi. Elaun perumahan sahaja bernilai kira-kira 20 kali ganda gaji minimum bulanan di kawasan miskin negara itu.

Gejayan Memanggil, salah satu kumpulan penganjur protes, berkata penunjuk perasaan menuntut potongan gaji Ahli parlimen dan membantah “elit korup” dalam kerajaan, serta dasar-dasar yang menguntungkan konglomerat dan tentera.

Ada yang dilihat di televisyen membawa bendera daripada siri manga Jepun, One Piece, yang telah menjadi simbol protes terhadap dasar kerajaan di negara itu.

Jurucakap polis Jakarta, Ade Ary Syam Indradi, memberitahu media bahawa seramai 1,250 anggota polis dikerahkan untuk mengawal keselamatan di sekitar bangunan tersebut.

Tiada sebarang kenyataan segera diberikan oleh Speaker Dewan, Puan Maharani atau timbalannya, setakat ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast