Tertuduh M. Vijaya Kumar, 36, didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas mengaku bersalah mencuri 540 kilogram buah kelapa sawit, dua minggu lalu.

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 540 kilogram (kg) buah kelapa sawit, dua minggu lalu.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman selepas tertuduh M. Vijaya Kumar, 36, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mencuri buah kelapa sawit seberat 540 kg yang diusahakan oleh pemajak tanah, Mengkuang Jaya Sdn. Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di ladang kelapa sawit Lot 47, mukim Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 11 pagi hingga 4 petang antara 14 Ogos hingga 17 Ogos 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan hanya dikenakan denda yang rendah tanpa hukuman penjara.

Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast