MELAKA – Kerajaan negeri melancarkan Gerakan Anti Buli Murid Asrama (GAMA) dengan menempatkan pegawai kanan di 38 buah sekolah berasrama di negeri ini melibatkan 11,151 murid bagi membantu kerajaan mencapai sasaran sifar buli di sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif bersama pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu menggunakan pendekatan secara kesedaran, pencegahan awal dan pemantauan berterusan.
Menurutnya, usaha ini turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras gejala buli secara menyeluruh.
“Program GAMA melibatkan pelantikan 38 pegawai JPN dan JAIM sebagai ‘bapa angkat’ bagi memantau serta memastikan keselamatan pelajar di asrama.
“Tujuannya, kita mahu kaji punca utama kes buli, sama ada akibat pergaulan, pengaruh media sosial atau faktor lain yang akan diteliti oleh kaunselor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program GAMA di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata GAMA berperanan memastikan asrama menjadi tempat selamat serta kondusif untuk membina sahsiah murid dengan bantuan pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memang sudah ditempatkan di setiap sekolah.
“Sekolah adalah tempat menuntut ilmu, bukannya medan untuk kanak-kanak dan remaja menunjukkan kekuatan diri atau mendera rakan-rakan yang lebih lemah.
“Kita juga sudah ada pasukan khas yang menjalankan lawatan, motivasi dan pemeriksaan mengejut,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan guru-guru agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar serta segera bertindak jika terdapat tanda-tanda mereka menjadi mangsa buli bukannya ‘menutup mata’ terhadap kes itu yang tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan hari ini.
Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 7,681 kes salah laku buli direkodkan di seluruh negara pada 2024, melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.
Di Melaka, kes buli merangkumi pelbagai bentuk termasuk fizikal, lisan, bukan lisan, serta buli siber adalah 0.12 peratus daripada jumlah keseluruhan murid pada 2024 dan berjaya diturunkan kepada hanya 0.03 peratus pada tahun lalu. – MalaysiaGazette
















