Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah menukarkan 29 kotak ubat-ubatan untuk kegunaan peribadinya, Julai lalu.

MELAKA – Seorang penyelia stor hospital swasta, di sini, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah menukarkan 29 kotak ubat-ubatan untuk kegunaan peribadinya, Julai lalu.

Tertuduh, Suhazagara Ramli, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia stor di ‘central stor’ Pusat Perubatan Mahkota yang diamanahkan dengan kawalan dan penjagaan terhadap barang-barang milik syarikat telah melakukan pecah amanah.

Perbuatan itu dengan cara menukarkan lapan kotak Hypafix 10cmx10cm, 10 kotak KY Jelly Personal Lubricant dan 11 kotak Rightest Glucose Test Trip berjumlah keseluruhan RM1,191.50 di Pusat Perubatan Mahkota, Taman Costa Mahkota pada 15 Julai 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan.

Peguam Nigel Tai mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya itu perlu menanggung dua orang anak yang masih kecil.

Salah seorangnya tuduh didakwa menghidap kanser buah pinggang tahap tiga.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000.

Mahkamah menetapkan tarikh 30 September sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast