MELAKA – Seorang lelaki berpewatakan wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas kesalahan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri, di sini, Ahad lalu.
Tertuduh, K. Devandran, 36, membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Bagaimanapun, Nur Afiqah menangguhkan hukuman dan mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri serta menetapkan 4 September ini bagi sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 49 tahun menggunakan sebilah pisau pemotong daging.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai agensi pelancongan, Jalan Melaka Raya 14, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.10 petang 24 Ogos 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga mengaku melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan kepada pegawai polis.
Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Melaka Raya, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12 tengah hari 25 Ogos 2025.
Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib manakala tertuduh yang memakai pakaian tradisi wanita India tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Haderiah Siri, tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah pisau pemotong daging di tepi Jalan Melaka Raya pada waktu dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi mencadangkan jumlah RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Kes akan disebut semula 6 Oktober ini. – MalaysiaGazette
















