Dr Mohd Aleef (tengah) melaungkan merdeka sebelum mengetuai Konvoi Merdeka 2025 DUN Sungai Udang sejauh 45 kilometer disertai kelab motosikal berkuasa tinggi sekitar Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Rakyat digesa mengetepikan fahaman politik sempit sehingga mengikis semangat patriotik sebaliknya mengukuhkan perpaduan dalam menghayati erti kemerdekaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, bulan Ogos yang sinonim dengan ulang tahun kemerdekaan negara seharusnya menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik.

“Bulan kemerdekaan ini adalah bulan penyatuan tidak kira kita dari parti politik mana apabila tibanya bulan Ogos, kita sebagai rakyat Malaysia keseluruhannya seharusnya bersatu.

“Ketepikan politik kepartian itu dan marilah kita bersatu sama-sama dengan bangganya mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.


Dr Mohd Aleef memasang bendera Jalur Gemilang pada motosikal yang menyertai Konvoi Merdeka 2025 DUN Sungai Udang sejauh 45 kilometer sekitar Sungai Udang, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Konvoi Merdeka 2025 DUN Sungai Udang sejauh 45 kilometer disertai kelab motosikal berkuasa tinggi sekitar Sungai Udang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Aleef berkata, acara konvoi yang bermula jam 4 petang itu menyaksikan peserta terdiri daripada anak muda, belia serta ahli kelab permotoran dibekalkan minyak dan bendera secara percuma sebelum berarak melalui beberapa laluan utama sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Dr Mohd Aleef Yusof

“Tradisi yang diadakan saban tahun ini mencatatkan rekod baharu apabila jumlah penyertaan kali ini lebih besar berbanding sebelum ini.

“Penganjuran konvoi bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan, malah sebagai medium untuk mendekatkan anak muda dengan semangat patriotisme,” katanya.

Menurutnya, program hari ini juga sekali gus menzahirkan mesej jelas bahawa semangat kemerdekaan lebih besar daripada perbezaan politik dan perpaduan rakyat adalah kunci kekuatan sesebuah negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast