MELAKA – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Melaka hari ini mencatat sejarah apabila menampilkan penyertaan terbesar dengan kehadiran 8,167 peserta daripada 147 kontinjen selain disaksikan lebih 70,000 pengunjung yang membanjiri Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir seawal pukul 7 pagi tadi.
Acara penuh warna-warni itu turut diserikan dengan perarakan 442 unit pelbagai jenis kenderaan yang mempamerkan keupayaan logistik jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform serta sektor swasta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, acara lintas hormat udara pesawat tempur Sukhoi Sukhoi SU-30MKM dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan persembahan baharu kali ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua urusetia yang telah menjayakan majlis pada hari ini dan semua yang terlibat secara langsung bagi memeriahkan lagi sambutan.
“Melihat kepada jumlah kehadiran, saya merasakan daripada malam tadi sampai hari ini lebih 100,000 orang yang mana malam tadi lebih kurang dalam 30,000 hingga 40,000 rakyat memeriahkan sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Negeri Melaka di sini hari ini.
Sambutan itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam serta kepemimpinan negeri.
Selain perbarisan dan perarakan, acara turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, pancaragam yang mendendangkan lagu patriotik, pertunjukan darat oleh pasukan keselamatan serta persembahan khas kanak-kanak dan komuniti setempat.
Suasana penuh semangat patriotik itu jelas dizahirkan melalui kibaran bendera Jalur Gemilang memenuhi segenap ruang lokasi sambutan.

Perbarisan penuh istiadat membabitkan penyertaan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan serta negeri, badan bukan kerajaan (NGO), badan beruniform sekolah, institusi pengajian tinggi, persatuan komuniti serta wakil syarikat swasta dan korporat.
Perarakan kenderaan pula menampilkan kekuatan pelbagai aset keselamatan, kenderaan teknikal, perkhidmatan awam serta kenderaan hiasan kreatif yang mencerminkan kepelbagaian fungsi organisasi di negeri ini. – MalaysiaGazette
















