Sebahagian para peserta yang terlibat melakukan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 OGOS 2025.

Oleh: Dr Ahamad Jama’ Amin Yang

KEMERDEKAAN yang diperoleh lebih enam dekad lalu tidak akan pernah sempurna jika pemerintah lalai menunaikan amanah dan rakyat pula alpa terhadap tanggungjawab mereka sebagai pengimbang kuasa. Kemerdekaan bukanlah noktah akhir perjuangan tetapi sebuah proses berterusan yang menuntut kebijaksanaan pemerintah serta kesedaran rakyat. Ia tidak boleh ditafsirkan hanya sebagai pengunduran kuasa kolonial, sebaliknya harus dilihat melalui sejauh mana pemerintah berupaya menegakkan keadilan, menjamin kebajikan dan memelihara maruah negara, manakala rakyat pula memastikan amanah itu tidak dikhianati.

Selagi keseimbangan ini tidak tercapai, kemerdekaan Malaysia akan terus berdepan persoalan sama ada ia benar-benar bermakna atau sekadar simbol sejarah. Sejarah pemikiran politik sejak era klasik hingga moden menegaskan bahawa kuasa pemerintah bukan hak mutlak tetapi amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Rousseau menyatakan pemerintah hanya sah apabila melaksanakan kehendak umum, manakala Locke menegaskan perlindungan hidup, kebebasan dan harta sebagai tugas utama penguasa. Dalam tradisi Islam, pemerintah dilihat sebagai khalifah yang dituntut menegakkan keadilan dan memelihara maslahat rakyat. Semua teori ini menyepakati bahawa kuasa ialah amanah, bukan milik peribadi.

Dalam konteks Malaysia, kemerdekaan memberi ruang kepada pemerintah untuk merangka dasar membina negara bangsa. Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara dan gagasan Ekonomi Madani merupakan usaha mengimbangi kedudukan sosioekonomi dan
memperkukuh daya tahan negara.

Namun dasar yang digubal hanya akan bermakna jika dilaksanakan dengan penuh integriti. Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2024 oleh Transparency International menempatkan Malaysia pada skor 50 daripada 100 dengan kedudukan ke-57 daripada 180 negara, tanpa peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun kedudukan ini lebih baik daripada kebanyakan negara ASEAN kecuali Singapura, ia masih belum mencukupi untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Rasuah melemahkan daya saing ekonomi dan meruntuhkan legitimasi pemerintah. Kemerdekaan hanya benar-benar sempurna jika pemerintah membuktikan kesungguhan membanteras gejala ini dengan langkah berani, menyeluruh dan bebas daripada kepentingan sempit.

Rakyat sebagai pengimbang kuasa
Kemerdekaan tidak bermakna tanpa rakyat yang berperanan aktif. Teori kontrak sosial menegaskan pemerintah wujud melalui persetujuan rakyat. Dalam demokrasi, rakyat tidak sekadar mengundi tetapi juga memantau dan menegur pemerintah.

Dalam Islam, rakyat dituntut menegur penguasa apabila berlaku kezaliman kerana prinsip amar makruf nahi mungkar menjadi sendi utama keadilan. Dalam persekitaran politik Malaysia, kesedaran rakyat semakin berkembang sejak gerakan Reformasi 1998 yang menuntut perubahan budaya politik.

Pelaksanaan Undi18 membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju negara. Gelombang perubahan politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 menjadi bukti jelas  rakyat berupaya menukar kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah. Peristiwa ini memperlihatkan rakyat sebagai agen penting yang memastikan sistem politik terus dinamik dan berdaya hidup.

Namun kemerdekaan hanya benar-benar bermakna jika rakyat menggunakan kuasa dengan penuh kematangan. Politik identiti yang sempit berasaskan kaum atau agama akan membantutkan perkembangan demokrasi dan melemahkan asas perpaduan negara. Sebaliknya rakyat yang kritis, rasional dan berfikiran terbuka akan menjadi benteng kepada penyelewengan kuasa serta pemangkin kepada dasar-dasar yang berkesan.

Simbiosis pemerintah dan rakyat
Kemerdekaan sejati lahir daripada hubungan simbiotik yang adil antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah yang beramanah memerlukan rakyat yang sedar tanggungjawab politik mereka, manakala rakyat yang matang memerlukan pemerintah yang sedia menerima teguran. Jika salah satu unsur ini gagal, makna kemerdekaan akan tergugat.

Malaysia kini berdepan cabaran ekonomi yang semakin kompleks. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua tahun 2025 hanya mencatat 4.4 peratus. Bank Negara telah menurunkan kadar dasar kepada 2.75 peratus, iaitu potongan pertama dalam tempoh lima tahun, sebagai langkah menghadapi kelembapan global.

Unjuran pertumbuhan tahun 2025 diturunkan kepada antara 4 hingga 4.8 peratus berbanding sasaran awal 5.5 peratus. Laporan OECD pula menjangkakan pertumbuhan sekitar 3.8 peratus dengan kadar inflasi sederhana sekitar 2 peratus.

Faktor luaran turut menekan ekonomi. Tarif Amerika Syarikat terhadap eksport Malaysia khususnya semikonduktor mengancam daya saing industri. Dalam keadaan ini pemerintah mesti merangka dasar berdaya tahan, memperkukuh kerjasama serantau dan mengurangkan kebergantungan eksport terpilih. Namun dasar tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat.

Masyarakat perlu memahami rasional pelaksanaan subsidi bersasar dan usaha meningkatkan pendapatan negara agar tidak terperangkap dalam retorik populis. Rakyat juga harus sedar bahawa kemerdekaan ekonomi sama penting dengan kemerdekaan politik.

Jurang pendapatan, ketidakseimbangan pembangunan wilayah dan kebergantungan kepada sumber tradisional masih menghantui negara. Selagi masalah ini tidak ditangani secara tuntas, kemerdekaan tidak akan mencapai kesempurnaan.

Kemerdekaan tidak boleh difahami sebagai pencapaian statik yang selesai pada tahun 1957. Ia adalah proses berterusan yang menuntut penyesuaian dengan cabaran baharu. Polarisasi kaum, peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan geopolitik global menuntut kebijaksanaan pemerintah serta kesedaran rakyat. Pemerintah mesti mengekalkan integriti, ketelusan dan keberkesanan dalam setiap pelaksanaan dasar.

Rakyat pula mesti matang dan kritis dalam menilai dasar serta tidak hanya bertindak berasaskan sentimen semata-mata. Kehadiran media sosial membuka ruang luas kepada rakyat untuk bersuara, namun kebebasan ini hanya membawa makna jika digunakan secara berhemah. Kemerdekaan akan tercemar jika ruang awam dipenuhi fitnah, manipulasi dan retorik kosong yang merosakkan perpaduan.

Kemerdekaan yang diwarisi generasi kini bukan sekadar peristiwa lampau untuk dikenang tetapi suatu amanah berterusan. Pemerintah mesti berani melawan rasuah dan menegakkan keadilan, manakala rakyat perlu matang dalam berpolitik, berani menegur serta tidak terjebak dalam politik sempit.

Kesempurnaan kemerdekaan bukan pada slogan tetapi pada sejauh mana pemerintah dan rakyat bergerak seiring menegakkan maruah negara. Malaysia hanya benar-benar merdeka apabila kuasa ditadbir dengan integriti dan rakyat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengimbang kuasa yang kritis serta berprinsip.

 

 

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah & Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast