KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak menolak kemungkinan kehilangan seorang remaja warga United Kingdom (UK) di negara ini ada kaitan dengan kegiatan sindiket penipuan siber atau pusat ‘scam’.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun yang datang ke Malaysia seorang diri sebelum hilang tanpa jejak.
“Bayangkan mangsa berumur 17 tahun, datang daripada UK, daripada Manchester, masuk ke Malaysia dan hilang di Malaysia. Biasa kita dengar hilang di Kemboja, Laos, Myanmar. Ini hilang di Malaysia. Ini amat membimbangkan kita,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menegaskan, kehilangan remaja bernama David Renz Balisong itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan imej negara jika dikaitkan dengan pemerdagangan manusia atau kegiatan jenayah terancang.
“Kami percaya remaja ini berada dalam keadaan selamat. Tujuan sidang media ini dibuat adalah untuk merayu, meminta kepada semua pihak tidak kira siapa sahaja yang mungkin melindungi atau mengetahui kedudukannya, supaya tampil memberikan maklumat,” ujarnya.
Julai lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mengesahkan hasil semakan rekod mendapati remaja itu masuk ke Malaysia pada 7 Jun melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sehari selepas berlepas dari UK dengan pesawat Etihad Airways.

Dalam pada itu, ibu David, Minerva Balisong yang hadir sidang media anjuran MHO membuat rayuan terbuka kepada rakyat Malaysia supaya membantu mengesan anaknya yang hilang sejak 6 Jun lalu.
“Sebagai seorang ibu yang terdesak mencari anak, saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, tolonglah bantu kami mencari David,” katanya.
Menurut Minerva, David dipercayai berangkat ke Malaysia seorang diri tanpa pengetahuan keluarga meskipun ketika itu sedang menduduki peperiksaan A-Level di UK. – MalaysiaGazette
















