Easah Ahmad

MELAKA – “Mujurlah saya gagahkan diri bangun dari tidur pada jam 3.30 pagi selepas terdengar letupan kecil dari luar rumah kerana ketika itu api dari kereta jiran yang terbakar di halaman rumah sudah menjulang tinggi.

“Rupanya, kesan letupan itu turut terpelanting dan terkena zink rumah dan api sempat dipadamkan jiran kalau tidak tak tahulah apa nasib kami tiga beranak,” kata Easah Ahmad, 55.

Pekerja kantin itu berkongsi detik cemas tiga buah kereta yang diparkir di hadapan deretan lima buah rumah di Kampung Beringin di sini yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku sekelip mata dan pada mulanya menyangka bunyi letupan itu adalah deruan kereta milik penyewa lain yang diparkir di halaman rumah sewanya itu.

Anggota bomba melihat keadaan tiga buah kereta yang diparkir di hadapan deretan lima buah rumah di Kampung Beringin, Alor Gajah, Melaka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

“Mula-mula ingatkan budak (penyewa) sebelah main (enjin) kereta tapi saya rasa tak sedap hati bila terdengar pula letupan kecil dan terkejut apabila melihat api dari kereta sudah marak.

“Dalam keadaan panik itu, saya kejutkan dua anak lelaki berusia 19 dan 26 tahun yang sedang tidur sebelum jerit memanggil jiran di sebelah rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, suami jirannya itu kemudian cuba memadam api menggunakan paip getah namun tidak berjaya kerana tekanan air yang rendah sebelum dia terus menghubungi bomba.

“Tak lama selepas itu, saya terdengar letupan diikuti bunyi kuat dari atas zink akibat percikan api yang terpelanting.

“Tapi mujurlah api itu berjaya dipadamkan jika tidak tak tahulah apa nasib kami tiga beranak dan jiran-jiran di sini,” katanya sambil menambah pasukan bomba yang tiba berjaya mengawal api daripada marak ke rumah.

Kejadian itu mengakibatkan tiga buah kereta jenis Honda City, Toyota Vios dan Perodua Myvi rentung sepenuhnya dan operasi pemadaman bomba tamat sepenuhnya pada jam 4.41 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast