Ketua Pembangkang Negeri Sembilan kecewa dan terkejut dengan pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan, Sabtu ini. - Foto: FB Penerangan Bersatu Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker menyifatkan pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan sebagai mengecewakan dan mengejutkan.

Menurutnya yang juga ADUN Labu, arahan pembatalan itu merupakan suatu bentuk campurtangan yang melampau kerana dibuat secara tiba-tiba.

Sedangkan, ujarnya, kehadiran Ustaz Wadi Annuar sebagai penceramah utama bagi program ‘Healing de’Masjid’ mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Ia amat dikesali kerana kerajaan negeri masih didokongi oleh majoriti wakil rakyat beragama Islam.

“Tindakan pembatalan sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan Madani Negeri Sembilan ibarat ‘lembu dicucuk hidung’, seolah-olah tunduk dengan pihak yang tidak senang dengan kelangsungan program itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ustaz Wadi Annuar menerus satu video mendakwa ceramah beliau yang bakal dilangsungkan di Masjid Sri Sendayan pada 6 September ini (Sabtu) telah dibatalkan.

Menurut Ustaz Wadi Annuar melalui video beliau itu, semua persiapan bagi program tersebut telah diatur rapi oleh pihak-pihak terlibat iaitu pengurusan Masjid Sri Sendayan dan MAINS, malah beliau turut menyatakan telah mendapat surat tauliah daripada pihak MAINS.

Sementara itu, Mohamad Hanifah berkata, arahan pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar tersebut secara langsung merupakan suatu bentuk gangguan politik terhadap syiar Islam di Negeri Sembilan.

“Saya memandang serius terhadap isu ini dan mendesak YAB Menteri Besar selaku Exco bagi Potfolio Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan bertindak tegas serta menjelaskan kepada rakyat berkenaan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast