MELAKA – Perjalanan pulang seorang penunggang motosikal dari tempat kerjanya untuk bertemu isteri di rumah berakhir tragedi menyayat hati apabila beliau maut digilis sebuah lori di Jalan Klebang Kecil, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Hilman Zulkifli, 26, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, motosikal mangsa datang dari arah lampu isyarat Batang Tiga menuju ke Bulatan Klebang.
“Sebaik tiba di tengah simpang empat lampu isyarat, motosikal mangsa yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Sungai Udang ke rumah isteri di Serkam dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh.
“Pada masa sama, sebuah lori muatan beras yang datang dari arah sama dipandu lelaki berusia 33 tahun tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa menyebabkannya meninggal dunia di lokasi,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan dan kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan, manakala lori terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut. – MalaysiaGazette
















